Bazar Ramadan RAHMAH: Harga mampu beli, lebihan makanan diselamatkan
- Redzuan Shamsudin

- 6h
- 2 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan Sesi Walkabout Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) peringkat Zon Tengah semnalam di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur, sebagai sebahagian inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH MADANI bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup sepanjang Ramadan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, memasuki tahun keempat pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 27 Mac 2023, BRR pada tahun 2026 dilaksanakan di 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga.
"Di semua lokasi BRR, peniaga menyediakan pelbagai pilihan Juadah RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa yang seimbang dan berpatutan," katanya dalam kenyataan.
Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, empat lokasi BRR dilaksanakan dengan kerjasama strategik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur iaitu Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Bazar Ramadan UTC Sentul, Bazar Ramadan TLK Tasik Permaisuri dan Bazar Ramadan Seksyen 1, Wangsa Maju.
Selain itu, insentif e-dompet sebanyak RM20 turut ditawarkan kepada pengunjung melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi menggalakkan urus niaga tanpa tunai. Sebanyak 8,000 PIN e-wallet akan diedarkan di Kuala Lumpur sepanjang Ramadan 2026 menerusi pelaksanaan BRR di empat lokasi terlibat.

Dalam pada itu, KPDN turut memberi penekanan terhadap pengurangan pembaziran makanan melalui pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB) @ Bazar Ramadan RAHMAH yang diterajui oleh Gerakan Pengguna Siswa (GPS) KPDN di seluruh negara.
Sehingga 27 Februari 2026, MYSaveFood Ramadan di BRR seluruh negara merekodkan 73 bazar terlibat dengan 10,804.2 kilogram makanan berjaya diselamatkan, bernilai RM152,211.53 serta mencegah pelepasan 21,927.08 kilogram karbon dioksida (CO₂), dengan penglibatan 750 sukarelawan GPS.
"Data ini membuktikan bahawa penglibatan GPS KPDN memperkukuh keberkesanan operasi pengumpulan dan pengagihan lebihan makanan di bazar Ramadan seluruh negara. GPS berperanan mengenal pasti lebihan makanan, mengurus pengasingan makanan selamat dimakan serta menyelaras agihan kepada komuniti memerlukan, di samping meningkatkan kesedaran pengguna terhadap isu pembaziran makanan," jelas beliau.
KPDN turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia atas peranan melatih dan membimbing sukarelawan GPS melalui modul pengurusan lebihan makanan bagi memastikan aspek keselamatan dan kebersihan dipatuhi.
Selain itu, peranan strategik ReMeal sebagai rakan penggerak turut diiktiraf dalam memastikan lebihan makanan diagihkan secara teratur kepada komuniti memerlukan.
Fuziah menegaskan, Ihsan Food Bank (i-FB) kini berkembang sebagai gerakan nasional berteraskan konsep Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan, yang menumpukan usaha menyelamatkan lebihan makanan selamat dimakan serta mengoptimumkan agihan kepada golongan memerlukan.
"KPDN berharap kerjasama erat semua pihak akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Untuk pertanyaan lanjut orang ramai boleh menghubungi: Sekretariat Induk Program Payung RAHMAH MADANI, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hotline: 03-8882 5881 / 5905 atau Emel: payungrahmah@kpdn.gov.my




Comments