top of page

'PH tidak sebarkan Islamofobia, Hj Hadi jangan eksploitasi sentmen agama'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 days ago
  • 1 min read

Tulisan terbaharu Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) terutama DAP menyebarkan Islamofobia, disifatkan sebagai kenyataan yang tidak berasas, bermotif politik dan berpotensi mengelirukan rakyat.


Bagi mantan ADUN Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar), menyamakan perbezaan pandangan politik dengan Islamofobia bukan sahaja tidak tepat, malah boleh merendahkan makna sebenar Islamofobia yang merupakan diskriminasi, kebencian dan prejudis terhadap agama Islam serta penganutnya.


Beliau menegaskan, PH sentiasa mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping menjunjung hak kebebasan beragama, perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat majmuk.


"Kritikan terhadap dasar atau pendirian mana-mana parti politik tidak boleh disalah tafsir sebagai kebencian terhadap Islam.


"Menggunakan istilah Islamofobia secara sewenang-wenangnya untuk menyerang lawan politik hanya akan mengaburkan usaha sebenar dalam memerangi sentimen anti-Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.


"Isu yang serius seperti Islamofobia tidak sepatutnya dijadikan alat propaganda politik," kata beliau menerusi satu kenyataan.


Ustaz Mohd Fakhrulrazi yang merupakan bekas pemimpin Pemuda Pas menambah, dalam keadaan negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan kos sara hidup, rakyat tentunya mengharapkan kepimpinan politik yang menawarkan penyelesaian dan bukannya terus memainkan politik ketakutan, perpecahan dan tuduh-menuduh.


Oleh itu, beliau menyeru semua pemimpin politik agar mengamalkan politik yang bertanggungjawab, menghormati fakta, serta mengelakkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama.


"Perbezaan politik hendaklah diraikan dalam kerangka demokrasi yang matang tanpa mengeksploitasi sentimen agama.


"PH akan terus komited mempertahankan prinsip Perlembagaan, memperkukuh perpaduan rakyat serta memastikan Islam terus dimartabatkan sebagai agama Persekutuan dalam suasana yang adil, harmoni dan inklusif," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page