Perkembangan politik Sabah di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 amat menarik dengan beberapa kemungkinan akan berlaku.
Menurut Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Mustapha Sakmud, Pakatan Harapan (PH) Sabah masih ingin meneruskan hubungan baik bersama Warisan, bagaimanapun parti itu mungkin mempunyai pertimbangan lain dengan melebarkan sayapnya ke Semenanjung.
"Isu Warisan, kita PH tidak pernah memutuskan hubungan dengan mereka. Warisan yang mengeluarkan kenyataan tidak (mahu) bersama kita.
"Seolah olah Warisan ingin bergerak secara solo. Kami dalam PH juga bincang isu ini. Jika itu sikap Warisan, PH akan memantapkan jentera kita.
"Bagi kita kalau boleh di peringkat negeri, di Semenanjung ada keperluan untuk kita bersama. Namun kalau mereka tidak mahu kita bergerak sendirian. Rundingan kerusi telah pun bermula dan kita runding peringkat kita dahulu.
"Namun saya ingatkan kawan kawan di Warisan akan perkara asas. Kalau di peringkat Persekutuan peluang kita tumbangkan lawan agak rumit. Strategi pakatan itu perkara asas dalam mana mana parti politik," katanya dalam temubual yang dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan KEADILAN pusat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, semalam.
Bagaimanapun untuk kerjasama seterusnya dalam PRU ke 15 bagi mana mana parti bersama PH, kata Mustapha, harus dilakukan secara bertulis, terutama sekiranya kerjasama itu beroleh kemenangan dalam pilihan raya.
Katanya, KEADILAN memerlukan posisi tertentu dalam kerajaan negeri pada setiap hierarki dan tidak boleh berdasarkan pengalaman lalu yang tidak diberi jawatan tertentu pada peringkat bawahan yang seimbang.
Di samping itu, kata Mustapha, isu mengenai Undi 18 juga belum dapat diselesaikan dengan jayanya. Masih banyak yang perlu dilakukan oleh KEADILAN bagi menarik golongan muda untuk mengundi pada PRU 15.
"Undi 18 di peringkat Sabah, walaupun kita sudah perkenal Undi 18 namun tahap kesedaran berpolitik itu agak rendah.
"Saya pernah menjadi Presiden Majlis Belia Sabah dan memahami masalah belia ini. Masalah pendedahan (Undi 18) tidak secepat yang berlaku di Semenanjung. Liputan internet juga mungkin salah satu punca kerana di luar bandar banyak bergantung media tradisional maka kesedaran tidak meluas.
"Saya juga bercakap dengan pemimpin belia dan mereka sedang mengusahakan program di seluruh Sabah. Mereka cuba buat DUN Belia. Kita harap usaha ini meningkatkan kesedaran untuk melahirkan kesedaran politik lebih baik," katanya.
Ditanya soalan panas, siapakah yang perlu disokong dalam pemilihan Timbalan Presiden KEADILAN, Mustapha lebih senang mengakui kedua dua calon, Datuk Seri Saifuddin Nasutioan Ismail dan Rafizi Ramli masing masing ada kekuatan tersendiri.
"Dua dua ada kekuatan. Cua yang saya lihat bila ada pemilihan seperti ini, isu politik didominasi parti kita. Semua orang bincang Rafizi dan Saifuddin. Bila kita pertandingan, ada yang melawan, baru kita tahu ramai ahli mahu perubahan. Bersemangat balik.
"Bila kita masuk kampung kita dapati ahli nak lihat pemimpin turun dan respons mereka amat baik. Bila kita sebut Rafizi dan Saifuddin masing masing ada pandangan.
"Bagi saya, Saifuddin dan Rafizi ada kekuatan yang kalau digabungkan ia 'meletup'. Datuk Saifuddin dengan pengalaman yang lama, puluhan tahun menjadi seorang pemimpin dan begitu taat dengan presiden. Dia selesaikan pekerjaan dengan baik.
"Rafizi pula dari sudut parti kemungkinan dia kurang menjiwai apa yang berlaku dalam parti. Namun kekuatan dia ramai netizen mengikuti beliau. Ramai pengundi atas pagar mengikuti perkembangan Rafizi. jadi dua dua ada kekuatan," katanya lagi.
Comments