PH ramai ahli ekonomi, Pas hanya ada pakar ekonomi 'lebong'
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Pemimpin Pas perlu mengukur baju di badan sendiri sebelum mengkritik pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi atau pun meremehkan kualiti Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menjadi Menteri sebelum ini.
Menurut aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz (gambar), kritikan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman semalam dianggap tidak kena pada tempatnya.
Katanya, tindakan Syahir mendakwa kononnya tiada pakar ekonomi yang boleh menggantikan Datuk Seri Rafizi pula agak keterlaluan kerana PH mempunyai banyak sarjana ekonomi.
Sebaliknya, ujar beliau, negeri yang ditadbir Pas-PN lah yang tidak mempunyai pakar ekonomi kerana ekonomi keempat empat negeri pembangkang itu tidak berkembang.
"Dia dakwa PH ketandusan tokoh ekonomi, tapi lupa empat negeri di bawah Pas - Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – kesemuanya tercorot dalam laporan KDNK 2023," kata Syam Ghaz dalam satu kenyataan.
Beliau juga menyenaraikan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia 2023. Data itu menunjukkan Kelantan hanya menyumbang 1.8% kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah RM27.6 bilion. Manakala Terengganu 2.3% (RM38.2b), Kedah 1.6% (RM51.8b) dan Perlis 2.1% (RM6.3b).
"Jumlah sumbangan empat negeri ini ke KDNK nasional hanya 7.3% daripada RM1.568 trilion. Malah, semuanya gagal mencapai purata pertumbuhan nasional 3.6%.
"Jadi di mana ‘pakar ekonomi’ Pas? Kalau betul hebat, mengapa negeri sendiri ketinggalan begitu jauh? Ini bukan sekadar “ekonomi lebong”, ini bukti kegagalan pentadbiran," katanya.
Malah, kata Syam Ghaz yang menjalankan aktiviti pertanian pintar di Kelantan, parlimen Bachok yang diwakili Syahir masih dikira antara daerah paling mundur pada waktu ini.
"35 tahun Pas perintah Kelantan, tak mampu pun siapkan terminal bas Kota Bharu, apatah lagi siapkan ekonomi rakyat," sinisnya.
Tegas Syam Ghaz, kalau untuk membina stesen bas pun berpuluh tahun masih dalam perancangan, maka tidak perlulah pemimpin Pas mengkritik pelantikan Amir Hamzah yang melimpah ilmu ekonominya.
"Kalau ini (gagal bina stesen bas) standard ‘pakar ekonomi Pas’, maka pelantikan Amir Hamzah sebagai Menteri Ekonomi adalah langkah lebih selamat, profesional dan tidak terikat dengan retorik lebong. Lihat lah CV nya.
"Ekonomi bukan tentang cakap. Ekonomi adalah prestasi dan data tak menipu," katanya lagi.
Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam mengesahkan pelantikan Amir Hamzah melaksanakan peranan Menteri Ekonomi, dipersetujui Perdana Menteri, dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lalu.
Manakala Syahir Sulaiman pula mengkritik kualiti Ahli Parlimen PH kerana Rancangan Malaysia ke-13 yang disediakan oleh Rafizi sebelum ini mahu dirombak semula sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.