top of page

PH tidak campur krisis adat, hanya jawab tohmahan BN

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Sep 28
1 min read
Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar arkib
Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar arkib

Pakatan Harapan (PH) tidak mencampuri urusan pentadbiran khususnya berkaitan institusi diraja dan adat di Negeri Sembilan.


Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, status PH sebagai pembangkang di negeri itu tidak bermakna mereka akan mengambil kesempatan atas isu takhta, adat dan pentadbiran negeri.


"PH hanya memberikan penjelasan terhadap persoalan yang dikemukakan Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai niat untuk mencampuri urusan dalam bidang kuasa institusi berkaitan," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata begitu sebagai mengulas gesaan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin baru-baru ini supaya parti politik pembangkang supaya tidak mengambil kesempatan dengan kemelut takhta serta urusan adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.


Sementara itu tambah Aminuddin, peranan PH di peringkat negeri adalah sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan akan memberikan respons terhadap isu pentadbiran yang dibangkitkan termasuk dari pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN)


"Jadi kita kena jawab (tuduhan yang dilemparkan kerajaan negeri baharu).


"Tidak adil untuk BN meletakkan semua permasalahan kepada kerajaan terdahulu tanpa pihak yang pernah mentadbir negeri itu diberikan ruang untuk menjelaskan kedudukan sebenar," kata mantan Menteri Besar itu.


Terdahulu, Menteri Besar daripada Umno, Datuk Ismail Lasim dalam satu sidang media sebelum ini menuduh kemelut institusi adat dan Raja di negeri itu diwarisi daripada kerajaan terdahulu.


Susulan itu Aminudin menegaskan, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya tindakannya ketika menjadi Menteri Besar dipersoalkan, namun tuduhan itu mesti dinyatakan dengan maklumat tepat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page