PH Tebrau putus kerjasama politik dengan ADUN Puteri Wangsa
- Suara Keadilan

- Sep 13, 2023
- 1 min read

Ahli Parlimen Tebrau dari Pakatan Harapan (PH), Jimmy Puah Wee Tse pada Selasa memutuskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara serta merta.
Ia susulan tindakan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik sokongan parti tersebut terhadap Kerajaan Perpaduan.
"Cubit paha kanan, paha kiri pun terasa, maka saya selaku Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan turut membuat keputusan menamatkan sebarang kerjasama dengan ADUN Puteri Wangsa di Tebrau dan dalam masa terdekat akan menyusun gerak kerja penyelarasan di DUN Puteri Wangsa.
"Hakikatnya Muda wujud atau tidak, ada atau tiada di Malaysia, di Johor dan di Tebrau tidak memberi apa-apa makna kerana tiada beri nilai tambah kepada PH sebaliknya banyak menyusahkan dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang bertujuan menyerang kepimpinan Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan.
Jimmy Puah yang juga Ketua Cabang KEADILAN Pulai menggesa Muda mencermin diri.
Tegasnya tanpa bantuan jentera, penyokong dan pengundi PH, mereka tidak akan sesekali berpeluang memenangi kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa.
"PRN di enam negeri membuktikan perkara ini apabila mereka hilang deposit di semua kerusi di mana mereka sanggup bertanding lawan PH di 19 kerusi.
"Tidak melampau untuk saya ibaratkan Muda seperti kacang lupakan kulit," jelasnya.




Comments