Pakatan Harapan (PH) menyertai mesyuarat Majlis Pemulihan Negara semalam dengan menghantar 4 wakil.
Menurut kenyataan PH, 4 pemimpin PH menghadiri mesyuarat tersebut ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen (KEADILAN), Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen (DAP), Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah) dan Tan Sri Bernard Dompok (UPKO).
Penyertaan tersebut, jelas PH, berikutan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara PH dan Kerajaan pada 13 September lalu yang mesyaratkan wakil pembangkang menyertai pelbagai jawatankuasa dibentuk kerajaan dan memberi sumbang saran.
"Mesyuarat selama tiga jam berlangsung di Lanai Kijang dan dipengerusikan Tan Sri Mahiaddin Yassin.
"Mesyuarat telah diberikan taklimat perkembangan terkini situasi pandemik Covid-19, cabaran-cabaran yang dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dan juga isu bantuan kecemasan makanan.
"Wakil Pakatan Harapan telah mengemukakan pandangan dan cadangan dasar di dalam mesyuarat ini," kata kenyataan PH.
Menurut PH lagi, pembangkang akan meneruskan pendekatan dwipartisan dan memberi kritikan membina serta pendapat konstruktif demi memastikan usaha pemulihan negara berjalan dengan lebih baik.
Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara yang seterusnya dijangka diadakan dalam masa dua minggu dari sekarang.
Comments