'PH sepakat kukuhkan reformasi, bukan DAP tinggalkan PH'
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 1 min read

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (gambar) menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan stabil dan seia sekata untuk terus memperkasa agenda reformasi, susulan mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung baru-baru ini.
Beliau berkata, laporan sebuah portal berita seolah olah beliau mahu DAP meninggalkan PH adalah kesalahfahaman mengambil hantarannya di media sosial sebagai laporan.
Sedangkan, kata beliau, dalam hantaran kelmarin, jelas beliau memberi gambaran PH sepakat untuk menggiatkan reformasi dan mesyuarat PH pula berjalan lancar.

"Hubungan baik, mesyuarat tenang, tiada ugutan, semua berjalan lancar. Tidak seperti yang didakwa di luar sana
"Namun demikian, tajuk berita memberi gambaran seperti DAP memang akan keluar Kabinet. Bila masa saya kata begitu?" tanyanya.
Syahredzan turut mengulangi penjelasan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berhubung kenyataan parti itu yang menjadi tumpuan.
"Makna sebenar kenyataan DAP ini telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung parti, Sdr Anthony Loke. Tidak timbul tarik sokongan, tidak timbul Kerajaan tumbang.
"Sekiranya ada sekalipun, selepas 6 bulan dan tiada perubahan ketara, parti akan menilai semula keberadaan menteri dan timbalan menteri DAP dalam Kerajaan Persekutuan," ujarnya.
Katanya lagi, hantaran asal beliau bertujuan menggambarkan kesatuan dalam PH, bukannya menimbulkan persepsi sebaliknya.
"Maka, tajuk berita tidak tepat, dan menyimpang daripada tujuan asal saya menyiarkan pos tersebut iaitu untuk menunjukkan kesatuan dalam Pakatan Harapan dan bukan sebaliknya."
Syahredzan memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi pihak portal terbabit, iaitu Malaysiakini berkaitan isu itu.





