PH Selangor sasar menang 51 kerusi DUN
- Suara Keadilan
- Jun 26, 2023
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) Selangor meletakkan sasaran memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan pada Ogos ini.
Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri ketika meletakkan sasaran itu berkata, ia mampu dicapai berdasarkan rekod prestasi ditunjukkan pentadbiran Menteri Besar dan kerjasama dengan BN dalam PRN kali ini.
"Kita yakin pengundi nampak prestasi pentadbiran di Selangor yang menyantuni rakyat dengan pelbagai inisiatif yang membantu rakyat seperti Skim Air Darul Ehsan, Skim Perlindungan Insurans dan Takaful Percuma, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor, dan Skim Mesra Warga Emas.
"Selain itu kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) juga mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan ini serta dapat menarik lebih banyak undi," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya ditemui pemberita selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN di Putrajaya pada Ahad.
Terdahulu, Yahya berkata mesyuarat selama sejam setengah yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dihadiri Timbalan Presiden Rafizi Ramli, Naib-naib Presiden dan Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan Jumaat lepas, dan dengan pembubaran itu pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.
Pada PRU-14, PH mendominasi Kerajaan Negeri apabila memenangi 51 daripada 56 kerusi, diikuti BN dan Pas masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.
Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (KEADILAN-19, DAP-15, Amanah-6), BN (5), Bersatu (4), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (2) manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing 1 kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.
Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.
Comentários