PH Selangor mahu Amirudin kekal sebagai MB hingga tamat penggal
- Suara Keadilan
- May 31
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengetuai Kerajaan Negeri sehingga tamat penggal pemerintah.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan PH Selangor pada petang tadi, sokongan yang diberikan oleh pemimpin PH Selangor itu adalah selaras dengan keperluan agar pentadbiran Kerajaan Negeri stabil dan kukuh bagi melaksanakan pelbagai kebijakan serta dasar yang telah direncana, antaranya Rancangan Selangor Kedua, pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang, Kompleks Stadium Shah Alam dan beberapa yang lain.
"Kesinambungan kepimpinan utama negeri akan memberi mesej positif kepada para pelabur juga komuniti peniagaan di Selangor.
"Selain itu, kami juga berpandangan kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi PH Selangor amat diperlukan bagi memperkukuh kerjasama bersama Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
"Pengalaman dan kepimpinan beliau adalah kunci kepada kesepaduan yang telah dibentuk sehingga membawa kepada kemenangan serta pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri yang lalu," kata mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, Amirudin dilihat berupaya dan berwibawa untuk mengekalkan kecemerlangan ekonomi Selangor di tengah tengah ketidaktentuan ekonomi global pada waktu ini.
"Selaku seorang pentadbir yang berpengalaman, kami berpandangan khidmat Datuk Seri Amirudin Shari diperlukan di Selangor bagi membantu memastikan negeri terus kekal menjadi gedung ekonomi utama negara, sekaligus menjayakan agenda Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi PH Selangor merangkap Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han; Timbalan Pengerusi PH Selangor yang juga Pengerusi AMANAH Selangor, Datuk Izham Hashim; dan Naib Pengerusi PH Selangor merangkap Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Comments