PH sejuk, mulakan gerak kerja, momentum menuju PRU 16
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Parti parti dalam Pakatan Harapan (PH) digesa agar memperkukuh perpaduan dalam kalangan penyokong melalui gerak kerja bersama yang lebih tersusun, khususnya di peringkat bawahan.
Mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, masih belum kelihatan program anjuran bersama berskala besar yang mampu memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa gabungan PH kekal teguh dan bersatu.
"Sejak membentuk Kerajaan Perpaduan tak ada apa-apa program kebersamaan sebagai signal kepada rakyat betapa gabungan PH adalah teguh dan bersatu, khususnya di peringkat akar umbi.
"Peringkat kepimpinan mungkin sering bertemu tetapi bagaimana akar umbi? Perjumpaan mingguan Kabinet Perpaduan tak sama dengan pertemuan sesama jentera dan petugas parti," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyifatkan tindakan mengadakan program ceramah hanya selepas tercetus isu UMNO menarik sokongan di Negeri Sembilan sebagai langkah reaktif yang sepatutnya PH kelihatan lebih aktif sebelum peristiwa hitam itu berlaku.
"Bila berlaku UMNO tikam belakang di Negeri Sembilan barulah PH tersentak nak buat ceramah. Kenapa tidak proaktif?" katanya.
Menurut beliau, Konvensyen Pakatan Harapan yang bakal diadakan di Johor Bahru minggu depan seharusnya dijadikan titik permulaan bagi menyusun gerak kerja bersama secara lebih sistematik.
"Bermula dengan konvensyen PH di Johor Bahru nanti, susunlah gerak kerja bersama. Jadikan konvensyen sebagai pencetus momentum," katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan penyokong PH ketika ini seolah-olah terabai tanpa hala tuju yang jelas daripada kepimpinan.
"Penyokong PH seperti diabaikan tanpa petunjuk tegas daripada pimpinan. Gerak kerja bersama dan semangat setiakawan seperti sebelum kemenangan wajib dibangkitkan semula demi mengekalkan kerajaan dan kelangsungan PH," katanya.




Comments