top of page

PH Sabah sokong BUDI Diesel, mahu pelaksanaan tidak bebankan rakyat

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Jun 24
3 min read
CHAN Foong Hin menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, 23 Jun 2026. Foto Ihsan Parlimen Malaysia
CHAN Foong Hin menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, 23 Jun 2026. Foto Ihsan Parlimen Malaysia

Pakatan Harapan (PH) Sabah menyambut baik pelaksanaan BUDI MADANI Diesel yang akan menyaksikan harga diesel bersubsidi diturunkan kepada RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad bermula 1 Julai ini.


Ketua Penerangan PH Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata pihaknya menyokong usaha reformasi subsidi melalui pendekatan lebih bersasar, telus dan mampu mengurangkan ketirisan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan serta keperluan rakyat di Sabah.


Menurut beliau, kejayaan dasar berkenaan tidak seharusnya hanya dilihat dari aspek penyelarasan sistem, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesan sebenar terhadap kehidupan harian rakyat.


“Rakyat Sabah mempunyai realiti yang berbeza berbanding Semenanjung termasuk kebergantungan kepada pengangkutan darat jarak jauh, logistik antara daerah, kenderaan diesel persendirian, bot sungai serta penggunaan genset di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu turut menghargai peranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang terlibat dalam sesi penerangan pelaksanaan dasar itu.


Katanya, penglibatan wakil rakyat Sabah dalam penerangan dasar berkenaan penting bagi memastikan pertimbangan fiskal kerajaan dapat diseimbangkan dengan perlindungan kepentingan pengguna serta kestabilan harga.


Dalam pada itu, PH Sabah menggesa beberapa perkara diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar berjalan lancar.


Katanya Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) perlu dipantau rapi bagi mengelakkan gangguan bekalan atau kelewatan proses pendaftaran yang boleh menjejaskan pengguna dan peniaga.


Selain itu, kata beliau mekanisme tambahan kuota diesel untuk pengguna di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu lebih fleksibel kerana corak penggunaan di Sabah melibatkan jarak perjalanan yang lebih jauh.


PH Sabah juga menggesa pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkat bagi memastikan perubahan mekanisme subsidi tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang atau caj pengangkutan secara tidak munasabah.


“Rakyat mesti merasai manfaat reformasi ini dan bukannya menanggung kesan rantaian kenaikan harga,” katanya.


Beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan subsidi bagi sektor strategik seperti nelayan, petani kecil, pengangkutan awam serta memperluas akses kepada pengusaha bot sungai dan pengguna mesin jana kuasa di kawasan pedalaman.


Foong Hin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata reformasi subsidi bukan hanya berkaitan penjimatan fiskal tetapi perlu menjadi langkah membina sistem yang lebih adil, mengurangkan ketirisan serta menjaga kebajikan rakyat khususnya di Sabah.


“PH Sabah akan terus memainkan peranan konstruktif bersama Kerajaan MADANI bagi memastikan pelaksanaan dasar ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.


Menerusi mekanisme baharu itu, harga diesel bersubsidi ditetapkan pada RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad bagi memastikan bantuan kerajaan disasarkan kepada penerima yang layak.


Sebelum ini, Sabah, Sarawak dan Labuan masih menikmati harga diesel bersubsidi secara pukal pada RM2.15 seliter, berbeza dengan Semenanjung yang mula melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada 2024.


Pengekalan subsidi pukal di Malaysia Timur dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan termasuk faktor keluasan kawasan, jarak perjalanan antara daerah, keadaan infrastruktur serta kebergantungan masyarakat kepada kenderaan diesel, bot sungai dan genset terutama di kawasan luar bandar.


Bagaimanapun, perbezaan mekanisme subsidi itu sebelum ini menimbulkan pertikaian dalam kalangan pengguna di Semenanjung yang mempersoalkan mengapa subsidi diesel masih dikekalkan di Sabah dan Sarawak sedangkan pengguna di Semenanjung sudah melalui perubahan sistem.


Kerajaan menjelaskan pendekatan berperingkat diambil kerana keadaan dan corak penggunaan bahan api di setiap wilayah adalah berbeza, selain memastikan bantuan tidak tersasar kepada pihak yang tidak memerlukan.


Namun perkembangan terbaharu menyaksikan kerajaan memperluaskan pendekatan BUDI MADANI Diesel ke seluruh negara susulan perubahan keadaan semasa termasuk tekanan terhadap pasaran minyak global akibat perkembangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga tenaga dunia.


Langkah penyasaran subsidi itu dilihat sebagai usaha kerajaan mengurangkan ketirisan perbelanjaan subsidi, sambil memastikan penjimatan dapat disalurkan semula dalam bentuk bantuan bersasar dan perlindungan kos sara hidup.



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page