PH Sabah sasar pertahan kerusi, intai kawasan berpotensi pada PRU16


Pakatan Harapan (PH) Sabah berhasrat mempertahankan tiga kerusi Parlimen disandang gabungan itu, selain mengintai beberapa kerusi lain yang berpotensi dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Tiga kerusi terbabit ialah Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata perkara itu dipersetujui dalam perundingan kerusi dengan gabungan atau parti lain yang bekerjasama dengan mereka pada pilihan raya itu nanti.
"Selain itu, kita juga melihat potensi untuk bertanding di kerusi lain tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan lain," katanya dipetik selepas mesyuarat PH Sabah di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) sementara itu berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan bagi menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak pada sidang Parlimen tahun hadapan.
Pertambahan kerusi itu jelasnya penting bagi membolehkan suara wilayah Borneo diwakili dengan sewajarnya dalam menyampaikan pandangan serta mempertahankan kepentingan kedua-dua negeri di peringkat persekutuan.
"Pindaan Perlembagaan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan kajian lanjut berkaitan persempadanan kawasan pilihan raya berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
"Jadi kita mahu supaya kerajaan pusat menyegerakan pindaan ini, Perkara 46, pada jadual sidang Parlimen untuk tahun hadapan," katanya.




Comments