PH Sabah lancar manifesto 8 komitmen "Harapan Urang Sabah"
- Suara Keadilan
- 16 minutes ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 dengan menampilkan slogan "Harapan Urang Sabah" (HAUS) yang menggariskan lapan komitmen utama bagi menjamin masa depan ekonomi, pentadbiran, dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Dalam majlis pelancaran tersebut, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan bahawa manifesto ini dibina berasaskan dasar yang realistik, bukannya janji kosong atau retorik politik.
Beliau menjelaskan bahawa komitmen pertama memberi fokus kepada tuntutan pengembalian 40 peratus hasil Sabah, satu isu yang sekian lama diperjuangkan rakyat negeri itu.
Komitmen kedua, menyentuh soal masa depan kewangan negeri melalui cadangan penubuhan Sabah Sovereign Wealth Future Fund bagi menjamin hak dan kestabilan ekonomi jangka panjang.
"PH Sabah turut berikrar memastikan hak Sabah terjamin melalui penubuhan Sabah Sovereign Wealth Future Fund.
"Komitmen ketiga menyentuh aspek akauntabiliti dengan memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Undangan Negeri merentas blok dan diberi kuasa untuk memanggil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi bagi sesi soal jawab terbuka.
"Keempat, reformasi pentadbiran Sabah melalui penstrukturan semula Kabinet," katanya.
Jelas Mustapha, komitmen kelima memberi tumpuan kepada golongan muda melalui penyediaan 20,000 peluang pekerjaan serta elaun sara hidup RM1,200 setahun.
Katanya, PH Sabah turut menekankan pembangunan industri bernilai tinggi menerusi aktiviti hiliran sektor gas, balak, kelapa sawit, pasir silika, agro-maritim dan pemprosesan makanan laut sebagai komitmen keenam.
"Ketujuh, agenda pemerkasaan wanita dengan memastikan 30 peratus penglibatan wanita dalam Kabinet Sabah, GLC dan kepimpinan tempatan.
"Terakhir, agenda Sabah Maju Bersama Malaysia Madani iaitu Sabah menjadi pemain utama serantau melalui kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya lagi.
Mustapha berharap komitmen berkenaan dapat diterima rakyat Sabah untuk memberi undi dan seterusnya memenangkan Pakatan Harapan dalam PRN pada 29 November ini.






