PH pertikai manifesto Warisan: Sulabayan, Semporna ketinggalan, daif
- Suara Keadilan
- 21 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Rakyat Sabah di Semporna khususnya Sulabayan wajar menilai secara kritikal tawaran manifesto parti Warisan antaranya mencadangkan pembinaan landasan kereta api merentasi seluruh negeri serta pemberian rumah walit dan sangkar ikan percuma.
Naib Presiden AMANAH Mahfuz Omar berkata tawaran berskala besar tidak membawa makna sekiranya masalah asas yang membelenggu penduduk masih gagal diselesaikan meskipun selepas tiga dekad kawasan itu mempunyai wakil rakyat yang pernah menduduki jawatan penting termasuk Menteri Persekutuan dan Ketua Menteri.
"Realiti di lapangan menunjukkan kehidupan penduduk di Semporna dan khususnya kawasan pulau di DUN Sulabayan masih berada dalam keadaan yang amat daif.
"Air bersih masih tidak stabil, ada kawasan terpaksa membeli air dari tanah besar. Jambatan kayu untuk rumah atas air sudah reput...seolah-olah rakyat dipaksa mempertaruhkan nyawa setiap hari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pakatan Harapan (PH) melalui calonnya Mohd Julpikar Ab Mijan dari AMANAH berdepan persaingan lapan penjuru bagi dalam usaha meraih sokongan 20,258 pengundi di DUN Sulabayan.
Mahfuz yang kini berada di Pulau Silawa, Sulabayan berkata infrastruktur asas seperti jalan dan kemudahan awam berada pada tahap tidak memuaskan walaupun puluhan tahun menjadi kubu kuat Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal.
Beliau mempersoalkan bagaimana sebuah projek mega seperti rangkaian landasan kereta api merentasi Kudat, Keningau, Sipitang, Tawau dan Sandakan mahu dilaksanakan sedangkan jambatan kayu rakyat pun gagal dibaiki.
Mahfuz turut mengkritik tawaran pemberian rumah walit dan sangkar ikan percuma oleh Warisan yang menurutnya tidak menyentuh punca kemiskinan sebenar di kawasan pulau-pulau Semporna.
"Apakah maknanya rumah walit diberikan percuma sedangkan rumah penduduk sendiri masih reput? Apa manfaat sangkar ikan jika air bersih untuk memasak pun masih perlu dibeli?" soalnya.
Beliau menyifatkan tawaran tersebut lebih bersifat hiburan politik berbanding penyelesaian sebenar.
"PH percaya rakyat Sabah kini lebih kritikal dan tidak lagi terpesona dengan manifesto yang digambarkan sebagai “fantasi.”
"Bagi PH, rakyat tidak mencari pemimpin yang mampu mengumumkan mega projek, tetapi pemimpin yang mampu menyelesaikan isu asas," jelas Mahfuz.
Dalam pada itu, Mahfuz menjangka tiada mana-mana parti mampu memperoleh majoriti bersendirian sekali gus menjadikan kestabilan politik sesuatu yang hanya boleh dicapai melalui gabungan yang jujur dan realistik.
Jelas beliau melalui gabungan antara parti-parti kerajaan, PH menawarkan keutamaan menyelesaikan masalah kemudahan asas penduduk selain menaik taraf hidup komuniti pulau, nelayan dan keluarga B40.
"Penduduk Sabah layak menikmati pembangunan sebenar, bukan janji yang berulang setiap kali pilihanraya.
"Jika Semporna masih tidak terbela selepas 30 tahun di bawah seorang pemimpin berprofil tinggi, sukar untuk percaya projek mega Sabah mampu direalisasikan," katanya.
Beliau menyeru rakyat menolak politik khayalan dan memilih pembangunan yang berpijak di bumi nyata.





