PH perlu perkemas strategi media sosial dekati pengundi muda
- Suara Keadilan

- 10 hours ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) perlu memberi lebih fokus kepada usaha mendekati golongan muda, khususnya menerusi media sosial, susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam kalangan pengundi bawah 40 tahun pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan baru baru ini.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan kempen secara konvensional seperti ceramah, walkabout dan ziarah rumah ke rumah perlu ditambah baik bagi memastikan mesej politik sampai kepada golongan muda.
"Kita perlu ada banyak fokus kepada penambahbaikan.
"Tuan puan telah pergi kempen, pergi ceramah, walkabout, ziarah rumah ke rumah. Cuma saya nak tanya berapa banyak sentuhan kepada anak muda?" katanya dalam Majlis Penutup Seminar Meja Bulat dan Bengkel anjuran SEKPUR di Saloma Jalan Ampang, Kuala Lumpur, petang tadi.
Beliau berkata, pendekatan turun ke rumah pengundi tidak memberi peluang yang baik kepada calon bersemuka dengan golongan muda kerana kebiasaannya ibu bapa yang ditemui ketika kunjungan.
"Masuk rumah pun (jumpa) emak bapa, jarang kita dapat bersemuka dengan anak muda kecuali program orang muda. Program (anak muda) pun motor, BBQ anak muda. Mereka datang tetapi duduk belakang. Masa calon beri ucapan saya tak tahu mesej sampai ke tidak," katanya.
Oleh itu, katanya, media sosial menjadi saluran penting untuk mempengaruhi dan mendekati pengundi muda memandangkan golongan berkenaan banyak menghabiskan masa di platform digital serta permainan dalam talian.
"(Namun) Soalan kita patut tanya, sama ada kita menguasai media sosial?" tanyanya.
Tengku Zafrul berkata, analisis keputusan pilihanraya di Negeri Sembilan menunjukkan PH berdepan cabaran besar dalam kalangan pengundi muda.
Beliau berkata, berdasarkan data yang ada, jumlah pengundi bawah 40 tahun di negeri itu mencecah 419,867 orang atau kira-kira 47 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih.
Namun, katanya pengundi 18 hingga 22, sebanyak 73 peratus ramai keluar mengundi tetapi hanya 37 peratus mengundi PH.
Pengundi 23 hingga 30 tahun dan 31 hingga 40 tahun pun katanya, kurang menyebelahi PH.
Tegas Zafrul, angka tersebut menunjukkan PH perlu memberi perhatian serius dari sudut strategi komunikasi dan penggunaan media sosial.
"Orang muda banyak baca tajuk, tengok berita video. Dalam pemantauan dibuat, sebahagian besar negatif kepada PH dalam kalangan orang muda," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penguasaan media sosial pernah menjadi antara kekuatan PH pada pilihan raya umum terdahulu.
"Pada 2018 kita menang di media sosial. Kita cuba tengok apa yang telah berlaku. Juga pada 2022 kita menang di media sosial.
"Ogos 2026 Johor dan Negeri Sembilan kita kalah di media sosial dan kalah pilihanraya."
Sehubungan itu, beliau menggesa jentera PH di setiap kawasan supaya memberi tumpuan kepada isu tempatan dalam strategi media sosial, termasuk menggunakan pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat setempat.
"Kita kena pastikan kawasan tumpuan, kita fokus. Media sosial, setiap cabang, Parlimen kena buat. Lawan kita guna orang tempatan.
"Mereka faham isu-isu tempatan. Kita kena pastikan jentera kita, calon kita, media sosial fokus kita (fokus) isu tempatan," katanya.
Beliau berkata, PH masih mempunyai ruang dan masa untuk memperbaiki kelemahan tersebut sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang diadakan dalam tempoh lebih setahun lagi.
"Kalau Perdana Menteri panggil PRU setahun lebih ini, kita ada masa untuk perbaiki (strategi) media sosial," katanya.




Comments