PH perlu nilai sokongan sebenar menjelang PRU16 — Fakhrulrazi
- Redzuan Shamsudin

- May 8
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) disaran menilai secara menyeluruh dinamika sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, khususnya melibatkan penyokong tegar, pengundi atas pagar serta golongan muda.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, beberapa persoalan asas perlu dijawab secara jujur bagi menentukan kekuatan sebenar gabungan itu di lapangan.
"Adakah penyokong tegar masih bersama (PH) atau berubah sikap? Adakah penyokong musuh masih kekal menyokong mereka (pembangkang), atau sudah beralih hasil kejayaan yang kita dakwa?" katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, PH juga perlu menilai kedudukan pengundi Atas Pagar yang menjadi depositnya sejak PRU 2008, serta tahap sokongan dalam kalangan anak muda yang menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan pilihanraya.
"Adakah mereka di Atas Pagar bersama kita atau sebaliknya, dan adakah anak muda benar-benar bersama kita? Ini semua akan menentukan kejayaan sebenar," ujar Fakhrulrazi.
Beliau menegaskan bahawa klasifikasi kawasan seperti merah, hitam dan kelabu sebagaimana tular dalam kajian pilihanraya yang bocor kepada media sebelum ini, hanya boleh dijadikan panduan awal namun tidak semestinya mencerminkan realiti sebenar di lapangan.
"Kawasan merah, hitam dan kelabu hanyalah panduan, apatah lagi jika kajian itu bersifat sepihak atau syok sendiri," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa penilaian berasaskan data semata-mata tanpa memahami sentimen sebenar pengundi boleh membawa kepada kesilapan dalam merangka strategi pilihanraya.




Comments