PH perlu menang Nilai, Labu capai sasaran 20 kerusi PRN N Sembilan
- Helmi Mohd Foad
- 8 hours ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan kemenangan di DUN Nilai dan DUN Labu bagi mencapai sasaran memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, sekali gus membolehkan agenda pembangunan serta kebajikan yang dilaksanakan sejak lapan tahun lalu diteruskan.
Calon PH DUN Nilai, Arul Kumar Jambunathan (gambar) berkata kemenangan kedua-dua kerusi itu amat penting untuk memastikan PH terus diberi mandat mentadbir negeri bersama Kerajaan Persekutuan yang sehaluan sekali gus menjamin kesinambungan pelbagai projek pembangunan serta inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, rekod pentadbiran PH membuktikan keupayaan kerajaan negeri mengurus ekonomi dengan lebih berkesan apabila berjaya meningkatkan pelaburan daripada hanya RM1.4 bilion pada 2017 kepada RM19 bilion pada tahun lalu, manakala bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, pelaburan yang direkodkan sudah mencecah RM13 bilion.
"Rizab tunai negeri meningkat, pendapatan negeri juga meningkat. Apabila kewangan negeri kukuh, kita dapat mentadbir dengan baik dan mengembalikan hasil itu kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan," katanya ketika berucap pada program Jelajah Kekal Harapan di Nilai malam ini.
Beliau berkata hasil kedudukan kewangan negeri yang lebih kukuh, kerajaan PH berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk bantuan kepada bayi yang baru lahir, murid yang memulakan persekolahan, pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, bantuan perkahwinan, bantuan pesakit kanser serta pelbagai bantuan lain.
Arul turut menegaskan hubungan yang selari antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini membolehkan pelbagai projek pembangunan strategik dilaksanakan di kawasan Nilai dan Labu.
Katanya, antara projek yang sedang atau bakal dilaksanakan ialah pembinaan hospital baharu di Bandar Enstek, penyambungan semula projek Lebuhraya Nilai-Labu-Enstek, pembinaan kompleks sekolah melibatkan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah dengan kos melebihi RM200 juta, pembinaan kompleks mahkamah di Nilai bernilai RM80 juta serta blok tambahan sekolah di Bandar Baru Nilai.
Selain itu katanya, sebuah projek Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 400 unit rumah dengan peruntukan RM117 juta akan dilaksanakan tahun depan bagi membolehkan lebih ramai keluarga memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik.
Beliau berkata, pembangunan kawasan perindustrian baharu di bawah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), termasuk projek-projek yang melibatkan pelabur utama seperti Eco World, Tabung Haji dan Sime Darby, turut dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk setempat.
"Kita tidak mahu rakyat terpaksa pergi ke Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Singapura semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan. Kita mahu peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan di Nilai dan Labu sendiri," katanya.
Sehubungan itu, Arul menggesa pengundi memberi mandat sekali lagi kepada PH bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan DUN Nilai sahaja tidak mencukupi sebaliknya PH turut memerlukan kemenangan di DUN Labu yang ditandingi Datuk Ahmad Faez Abdul Razak bagi memastikan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi DUN tercapai.
"Tak cukup Nilai sahaja menang. Labu mesti menang. Kita perlukan sokongan daripada setiap kaum kerana tanpa sokongan semua masyarakat kita tidak boleh membentuk kerajaan negeri.
"Kalau ada anak-anak atau cucu-cucu yang berada di luar, panggil mereka balik mengundi. Kita mahu pada malam 1 Ogos nanti Pakatan Harapan sekali lagi diberi mandat untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan," katanya.
