Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memastikan memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, PH membuat keputusan tersebut atas dasar kepentingan negara.
"Pembangkang melihat sudah tiba masanya perhatian lebih membina satu negara lebih stabil memberi kedudukan menyelamat keadaan khususnya pandemik dan ekonomi tidak tentu arah, sebab itu PH memeterai MoU dengan kerajaan.
"Adakah ini sesuatu yang jarang berlaku? Apabila kerajaan baru tiba-tiba beri laluan kepada pemimpin PH untuk berbincang bagaimana sama-sama boleh kita turunkan suhu politik, akhirnya kita bekerjasama bagi memastikan permasalahan dihadapi rakyat ini dapat diselesaikan.
"Alhamdulillah, rakyat beri sepenuh harapan agar semua yang kita catitkan dalam MoU dapat dilaksanakan dengan satu niat dan tujuan bahawa masalah rakyat dapat selesaikan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, isu-isu seperti Undi18 dan pembaharuan Parlimen seharusnya dilaksanakan dengan lebih awal.
"Undi18 ini penting bagi kita dan anak-anak muda untuk layakkan mereka jadi pengundi, kalau anak berumur 18 tahun dibenarkan jadi tentera dan polis tapi kenapa pula datangnya memilih kerajaan, kita kata mereka tidak layak?Mereka masih mentah, mungkin tak cukup umur untuk membuat keputusan bagi memilih sebuah kerajaan. Jadi perkara ini mesti diselesaikan dan mesti boleh mengundi dalam pilihan raya.
"Dalam soal pembaharuan Parlimen, sistem kita berjalan baik tapi ada kepincangan berlaku, ini mesti diperbaiki dan memastikan kepentingan ini dapat diselesaikan dan telah termaktub dalam MoU.
"Kita nak melihat bahawa semua disebut hitam putih dalam MoU dapat dilaksanakan," katanya.
Bagaimanapun, Johari berkata PH tetap akan memainkan peranan sebagai pembangkang.
"Walaupun kami bersetuju untuk bersama dengan kerajaan, kami tidak menjadi sebahagian dari eksekutif, kami menyokong untuk memastikan apa juga yang diperkatakan dijanjikan dapat dilaksanakan.
"Sekiranya tinggal kata-kata kami akan mengambil tindakan seterusnya, kami tidak berdiam diri sebaliknya terus jadi pembangkang yang akhirnya akan menolak apa juga yang dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya tindakan tidak dilaksanakan," katanya.
Comments