PH NS buktikan Islam melalui pentadbiran, bukan retorik politik
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan propaganda yang mempertikaikan komitmen gabungan itu terhadap Islam dan orang Melayu kerana hakikatnya nilai Islam diterjemahkan melalui dasar pentadbiran yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Calon PH DUN Sikamat, Ustaz Nor Azman Mohamad (gambar) berkata dakwaan kononnya PH tidak mempunyai semangat Islam adalah persepsi yang sengaja diwujudkan oleh pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat.
Beliau menjelaskan, calon-calon PH sendiri terdiri daripada individu yang mempunyai pendidikan agama dan pengalaman dalam dakwah serta pengajian Islam.
Katanya, Muhammad Allif Ibrahim (DUN Kota) merupakan seorang ustaz yang dekat dengan masyarakat, Ahmad Syahir Mohd Shah (DUN Paroi) ialah graduan Pengajian Islam Universiti Malaya, manakala Datuk Muhammad Nazri Kassim (DUN Ampangan) menerima pendidikan di Madinah sebelum menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Nor Azman sendiri merupakan graduan Universiti Al-Azhar, Mesir.
"Kita tidak meletakkan Islam hanya pada imej atau penampilan, tetapi kita membuktikannya melalui amalan.
"Islam bukan sekadar slogan, sebaliknya bagaimana kita membawa manfaat kepada rakyat dan menolak kemudaratan," kata Nor Azman.
Beliau berkata, rakyat perlu menilai rekod kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun yang menurutnya sentiasa memberi ruang kepada pengukuhan syiar Islam melalui penganjuran usrah, majlis ilmu dan program tadabbur al-Quran di kediaman rasmi Menteri Besar.
Tambah beliau, politik yang memainkan sentimen agama dan kaum secara sempit tidak membantu pembangunan negeri, sebaliknya hanya mengundang perpecahan.
Justeru, beliau menyeru masyarakat Negeri Sembilan menilai kepimpinan berdasarkan rekod pentadbiran, integriti dan manfaat yang telah dinikmati rakyat sepanjang PH menerajui negeri itu.




Comments