top of page

PH N Sembilan tekad laksana pelan ekonomi jana 30,000 peluang kerja

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Pakatan Harapan (PH) beriltizam memastikan pembangunan di Negeri Sembilan tidak sekadar tertumpu kepada projek fizikal sebaliknya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat menerusi pelaksanaan pelan ekonomi jangka panjang sekiranya diberi mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN).


Gabungan itu berkata, pelan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi dan meningkatkan pendapatan rakyat sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.


Menurut PH, antara komitmen utama yang digariskan dalam manifestonya ialah mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi bagi memastikan lebih ramai anak tempatan mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi yang dirancang.


Bagi mencapai sasaran itu, PH merancang memperkukuhkan Port Dickson sebagai hab maritim dan logistik, memperjuangkan pembinaan Hospital Bandar Enstek, membangunkan Seremban Sentral sebagai pusat pertumbuhan baharu serta menambah baik rangkaian pengangkutan termasuk laluan pintasan Senawang–Port Klang dan perkhidmatan KTM Komuter.


"Semua inisiatif ini mempunyai satu matlamat yang sama iaitu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi dan merancakkan ekonomi Negeri Sembilan," kata kenyataan PH Negeri Sembilan hari ini.


"Apabila pelaburan bertambah, peluang pekerjaan akan meningkat. Apabila peluang pekerjaan meningkat, pendapatan rakyat akan bertambah.


"Apabila pendapatan rakyat meningkat, ekonomi negeri akan menjadi lebih kukuh."


PH berkata, kemajuan sesebuah negeri bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pelaburan yang dibawa masuk sebaliknya sejauh mana pembangunan itu mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan memberi harapan kepada generasi akan datang.


Menurut gabungan itu, Negeri Sembilan mempunyai kedudukan strategik, kestabilan politik serta rekod pentadbiran yang diyakini pelabur sekali gus meletakkan negeri itu pada kedudukan terbaik untuk mempercepatkan agenda pembangunan sekiranya diberi mandat baharu.


Manifesto PH sebelum ini turut menggariskan sasaran menjadikan Negeri Sembilan sebagai koridor tengah negara menerusi pembangunan projek berimpak tinggi termasuk Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), NS Semiconductor Valley dan Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City bagi menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.


PH komited membina ekonomi masa depan yang bukan sahaja berkembang malah turut memberi manfaat kepada setiap keluarga di Negeri Sembilan, kata gabungan tersebut.


"Negeri Sembilan mempunyai kedudukan strategik, kestabilan politik dan rekod pentadbiran yang diyakini pelabur.


"Dengan mandat yang kukuh daripada rakyat, kita mampu mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page