PH N Sembilan adakan mesyuarat tergempar bincang persediaan PRN
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bersama wakil-wakil rakyatnya hari ini mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin (gambar) berkata mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di kediaman rasmi beliau itu diadakan susulan pembubaran DUN Johor semalam.
"Ia adalah mesyuarat biasa, bukan mesyuarat khas, ia dinamakan tergempar kerana notis singkat, selepas pembubaran DUN Johor petang semalam.
"Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang harmoni dengan semangat keluarga Pakatan Harapan NS (Negeri Sembilan).
"Kami membincangkan kesiapsiagaan jentera Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Negeri yang bakal menjelang. Itu saja...," kata Ahli Parlimen Rasah itu dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, pemerhati politik melihat perkembangan pergerakan ahli politik itu sebagai satu petanda kemungkinan Negeri Sembilan turut mengikut jejak Johor membubarkan DUN lebih awal bagi memberi laluan kepada PRN.
Terdahulu, media tempatan melaporkan ADUN PH bersama beberapa pemimpin parti dilihat hadir ke kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seawal pukul 9.30 pagi.
Kehadiran mereka dipercayai bagi menghadiri mesyuarat berkaitan dengan pembubaran DUN.
Bagaimanapun Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan bahawa tiada sidang media diadakan susulan mesyuarat terbabit.
Namun beliau dipetik sebagai berkata, Menteri Besar akan mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Rabu.
Kemelut politik Negeri Sembilan tercetus pada 27 April lalu apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mendakwa tindakan tersebut dibuat susulan krisis melibatkan institusi adat dan perlembagaan negeri serta rasa tidak puas hati terhadap cara isu berkenaan ditangani oleh kepimpinan kerajaan negeri.
Pada Pilihan Raya Negeri 2023, Pakatan Harapan memenangi 17 kerusi DUN, BN 14 kerusi dan Perikatan Nasional lima kerusi.
Penarikan sokongan oleh semua ADUN BN menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang dibentuk hasil kerjasama PH dan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.
Bagaimanapun, krisis tersebut berjaya diselesaikan selepas campur tangan pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
Pada 6 Mei lalu, kerajaan Persekutuan mengesahkan kesemua 14 ADUN UMNO kembali menyokong Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan dan kepimpinan Menteri Besar sekali gus mengekalkan pentadbiran negeri di bawah pimpinan Aminuddin.
Bagaimanapun, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan dalam ucapannya pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Johor Bahru pada 17 Mei lalu menyentuh secara terbuka kemelut politik yang tercetus apabila 14 ADUN UMNO-BN menarik sokongan terhadap beliau.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap semangat Kerajaan Perpaduan dan insiden itu perlu dijadikan pengajaran oleh PH di semua peringkat.
Beliau turut mengingatkan bahawa PH mempunyai had terhadap kesabaran dan maruahnya sebagai rakan dalam kerajaan.




Comments