'PH masuk PRN untuk jadi kerajaan, PN bercelaru, mimpi lain lain'
- Redzuan Shamsudin

- 1 day ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) menyifatkan penerimaan semua 56 calon gabungan itu tanpa seorang pun ditolak pencalonan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini sebagai permulaan positif dalam usaha menawarkan alternatif untuk menerajui Kerajaan Negeri.
Pengarah Pilihanraya KEADIILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH memasuki PRN Johor dengan matlamat jelas untuk membentuk kerajaan, berbeza dengan gabungan lain yang menurutnya hanya menawarkan diri sebagai pembangkang.
"Ini merupakan permulaan yang baik kerana Pakatan Harapan masuk pilihanraya kali ini dengan satu objektif, iaitu menawarkan pilihan kepada para pengundi negeri Johor untuk memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan memimpin Kerajaan Negeri Johor," katanya dalam sidang media di Restoran Jibril Corner, Kulai.
Saifuddin berkata, PH mempunyai kelebihan dari segi persiapan apabila berjaya memuktamadkan rundingan kerusi, mengumumkan calon dan melancarkan jentera pilihanraya lebih awal berbanding gabungan lain.
Menurut beliau, keadaan itu membuktikan PH mengambil serius PRN Johor dengan persediaan yang lebih tersusun dan kemas.
"Pilihanraya adalah pesta demokrasi supaya pihak yang menawarkan diri untuk menerajui kerajaan negeri ialah pihak yang mampu menampilkan pilihan yang lebih baik. Ini bukan ujikaji dan bukan persaingan populariti, tetapi urusan demokrasi yang serius," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyindir situasi dalam Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya masih berdepan masalah penyelarasan walaupun menggunakan logo yang sama.
"Kalau kayu ukur ini hendak dibandingkan dengan Perikatan Nasional, saya fikir inilah keadaan yang menyebabkan rakyat Johor akan keliru. Masih bertanding di bawah satu logo, tetapi tidak saling membantu.
"Pas kata mereka ada 11 kerusi, tetapi mereka tidak akan membantu Bersatu walaupun bertanding di bawah satu logo. Jadi, rakyat Negeri Johor saya percaya perlu bijak memilih sama ada hendak memilih satu pasukan yang mantap, kemas dan bersedia, ataupun memilih satu gabungan yang berada di bawah satu bumbung, tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain," katanya.
Mengulas manifesto, Saifuddin berkata, Jawatankuasa Manifesto PH telah memuktamadkan draf tawaran yang akan dibentangkan kepada kepimpinan gabungan sebelum dilancarkan secara rasmi dalam tempoh berkempen.
Katanya, manifesto itu akan memberi penekanan kepada manfaat yang boleh dinikmati rakyat sekiranya Johor ditadbir kerajaan negeri yang bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan.
"Kali ini kami akan tampilkan satu kerangka manifesto yang realistik, bersifat tangible dan reasonable.
"Isi kandungan serta kerangka tawaran manifesto itu akan diumumkan dalam sedikit masa lagi kerana ia tertakluk kepada pengesahan akhir yang akan dibuat pada hari Isnin nanti," katanya.




Comments