PH manfaatkan tempoh akhir kempen dekati pengundi


Pakatan Harapan (PH) Melaka akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh baki hari kempen dengan memaksimumkan gerak kerja kempen.
Pengerusinya Adly Zahari (gambar) berkata, usaha itu bagi memastikan kemenangan gabungan itu di kerusi yang mempunyai peluang cerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
"Fokus kita mesti pergi kepada garis kemenangan kerana kita tahu ada lima kerusi yang perlu dipertahankan termasuk di Bukit Katil. Kita juga ada kerusi DUN yang mempunyai peluang cerah seperti Machap Jaya dan Paya Rumput.
"Jadi, gerak kerja mesti maksimum untuk menyantuni rakyat, mendengar masalah mereka dan kalau boleh kita terus selesaikan kerana agensi dan kerajaan Persekutuan masih berfungsi," katanya dipetik laporan media.
Beliau sementara itu berkata, empat kerusi yang ditandingi DAP turut dianggap sebagai kerusi berpotensi untuk dikekalkan berdasarkan sokongan masyarakat serta prestasi khidmat wakil rakyat.
"Semua wakil rakyat yang sama dan dilanjutkan menunjukkan bahawa prestasi mereka ini agak baik. Bagi saya di Melaka ini yang paling penting," tambahnya.
Pada PRN kali ini PH mengambil pendekatan untuk tidak bertanding di semua 28 kerusi dipertandingkan.
Adly Zahari sebelum ini berkata, PH mempunyai peluang lebih baik untuk menang dengan menumpukan kepada hanya kerusi berpotensi.




Comments