top of page

PH mampu pertahan Putrajaya jika kembali perkukuh politik nilai

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 24 minutes ago
  • 3 min read

Pakatan Harapan (PH) mempunyai laluan untuk mempertahankan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) meskipun berdepan cabaran kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu kembali memperkukuh politik berteraskan nilai serta meraih sokongan kelompok progresif yang menjadi asas kekuatannya sebelum ini.


Pengarah Komunikasi KEADILAN Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad (gambar) berkata, PH masih mampu membentuk kerajaan walaupun jika PN dan BN bergabung, asalkan gabungan itu berjaya memperoleh sekitar 20 hingga 30 peratus sokongan pengundi Melayu.


"PH masih mampu menang dalam PRU16 walaupun jika PN-BN bergabung. Kita hanya perlukan 20 hingga 30 peratus sokongan Melayu untuk membentuk kerajaan.


"Kalau lebih besar sokongan tersebut, maka sudah pasti kita akan lebih kukuh," katanya menerusi hantaran di media sosial.


Menurut beliau, pertembungan politik yang sedang berlaku bukan sekadar persaingan antara gabungan parti, malah membabitkan pertembungan dua ideologi utama iaitu politik identiti yang didukung PN dan BN serta politik nilai yang menjadi asas perjuangan PH.


Beliau menjelaskan politik identiti dibina berasaskan kesamaan agama, bangsa atau kelompok tertentu manakala politik nilai menumpukan prinsip moral, tadbir urus yang baik dan keadilan sosial.


Katanya, PN ditubuhkan untuk menjuarai isu Melayu menerusi Bersatu dan Islam menerusi Pas manakala BN pula sejak sekian lama menggabungkan parti-parti berasaskan kaum seperti Umno, MCA dan MIC.


Sebaliknya, katanya PH menghimpunkan parti-parti yang memperjuangkan nilai sejagat termasuk KEADILAN yang membawa agenda keadilan sosial, DAP yang memperjuangkan hak rakyat serta AMANAH yang menampilkan pendekatan Islam yang inklusif.


Ahmad Safwan berkata, kemungkinan penyatuan PN dan BN bakal mengukuhkan politik identiti, khususnya di kawasan majoriti Melayu Islam.


"Justeru itu, apabila berlakunya penyatuan PN-BN, ia menyebabkan ramai pihak tersandar ke dinding. Penyatuan yang dinamakan penyatuan ummah ini secara makronya adalah gabungan undi Pas dan Umno.


"Maka di tempat-tempat yang Melayu Islam adalah majoriti, gabungan ini kemungkinan besar akan menang," katanya.


Bagaimanapun jelas beliau, situasi itu tidak bermakna PH sudah kehilangan peluang sebaliknya gabungan berkenaan perlu kembali menghimpunkan semua kelompok yang mendukung politik nilai sebagaimana formula kemenangan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).


"Sekiranya rightist mula bergabung, maka leftist perlu bergabung juga.


"PH perlu kembali mengumpulkan semua suara yang dipinggirkan untuk membentuk kekuatan asas. Inilah sebenarnya resepi kekuatan PH atau Barisan Alternatif sebelum PRU14," katanya.


Beliau turut memperkenalkan gagasan "Perpaduan Ummah" yang menurutnya berbeza daripada konsep "Penyatuan Ummah".


Jelasnya, perpaduan bermaksud menghimpunkan pelbagai kelompok yang mempunyai aspirasi politik sama tanpa menghapuskan identiti masing-masing, selaras dengan konsep integrasi atau salad bowl, berbeza dengan penyatuan yang bersifat asimilasi atau melting pot.


"Perpaduan akan mengekalkan identiti atau watak masing-masing manakala penyatuan meleburkannya.


"Dalam politik Malaysia, sejak dari awal kemerdekaan, kita memilih untuk berintegrasi, bukan berasimilasi," katanya.


Ahmad Safwan turut mengakui pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama BN memberi cabaran besar kepada PH dari sudut persepsi rakyat.


"Satu masalah yang dihadapi PH sekarang adalah kemerosotan keyakinan. Apabila kita membentuk kerajaan bersama BN, PH kelihatan sudah melonggarkan prinsip nilai yang diperjuangkan selama ini. Inilah persepsi yang ada di lapangan.


"Apabila kekuatan dan senjata kita ini mula kita tinggalkan di tepi, maka kita akan jadi lemah. Benar, menjadi kerajaan tidak semudah yang disangka kerana ada pelbagai pihak berkepentingan yang perlu dijaga," katanya.


Justeru itu beliau berkata PH perlu mencari keseimbangan antara tanggungjawab mentadbir negara dengan usaha mengekalkan identiti perjuangan yang menjadi kekuatan gabungan tersebut.


Mengulas kepentingan PRU-16, beliau menegaskan Malaysia memerlukan kesinambungan pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda reformasi dan pembangunan ekonomi dapat disempurnakan.


"Kenapa perlu penggal kedua? Kerana kita tiada pilihan. Malaysia tiada pilihan. Hanya selangkah lagi menuju negara berpendapatan tinggi dan rakyat hidup mewah.


"Jika kita gagal, kita akan kembali mengundur ke belakang," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page