Pakatan Harapan (PH) menjanjikan ketelusan dan kestabilan politik Melaka sekiranya diberi mandat pada 20 November ini.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Halim Bachik, antara pelan menstabilkan politik negeri itu adalah dengan memastikan ADUN-ADUN tidak mengulangi perangai buruk kerajaan Perikatan Nasional berebut projek dan komisyen dengan setiap ADUN diwajibkan membuat perisytiharan harta.
"PH komited untuk memastikan akauntibiliti dan intigriti dalam pentadbiran. Setiap ADUN yang menang diwajibkan membuat pengisytiharan harta.
"Amalan tender terbuka akan dilaksanakan sebagai teras proses perolehan negeri. Amalan tender terbuka ini tidak akan menjejaskan agenda Bumiputera, sebaliknya membuka peluang sama rata dan adil kepada semua pihak. Konsep tender terbuka berupaya menghapuskan amalan tender terhad dan rundingan terus bagi mana-mana kontrak atau projek kerajaan dengan semua agenda Bumiputera akan diteruskan seperti biasa menerusi pendekatan berbeza," katanya.
Manakala untuk memastikan amalan semak imbang yang baik, PH berjanji untuk mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang setaraf Exco serta diberi kemudahan yang sesuai.
Kesemua hal itu terkandung di dalam manifesto Pelan Tindakan Maju Bersama HARAPAN, di bawah teras Melaka Stabil yang menjanjikan beberapa reformasi pentadbiran.
"Pelan Tindakan ini akan mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang sebagai Exco yang akan menerima pelbagai manfaat daripada kerajaan supaya komposisi itu dilihat lebih adil.
"Selain itu, kerajaan akan memberikan hak peruntukan tahunan saksama kepada setiap ADUN tanpa mengira parti sebagai bukti sifat tanggungjawab dan keprihatinan kerajaan agar pencapaian pembangunan di Melaka akan menjadi lebih seimbang di antara kawasan," katanya.
Sehubungan itu, bagi memastikan Pelan Tindakan Maju Bersama HARAPAN tersebut dapat diimplementasikan, kata Halim, rakyat negeri Melaka perlulah memilih PH pada Pilih Raya Negeri Melaka nanti.
"Pastikan anda keluar mengundi dan pangkahlah Pakatan Harapan," katanya lagi.
Comments