
KEADILAN akan terus menguatkan Pakatan Harapan (PH) dan akan menjadikan persepakatan politik itu sebagai induk yang kuat.
Namun menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerjasama dengan parti parti lain yang sealiran juga terbuka untuk dipertimbangkan.
"Saya beri jaminan dan pimpinan baru kita tetap bersama dengan DAP, Amanah, dan UPKO. Kita perkuat KEADILAN, kita bergerak bersama perkuat PH
"Kita tentunya akan terus membina jaringan terutama dalam parti pembangkang biar pun kadang kadang ada perselisihan.
"Ada kebijaksanaannya supaya PH kekal sebagai induk yang kuat tetapi tidak menutup sama sekali kesediaan kita membina jaringan dengan semua parti yang sealiran dari segi dasar," katanya.
Anwar turut mengingatkan sedikit perselisihan dan berbeza pendapat merupakan sesuatu yang biasa dalam PH dan tidak wajar anggota parti melihat hal itu sebagai ketidakstabilan atau perpecahan.
"Ada sejarah kadang kadang kenyataan Mat Sabu, Ahli Parlimen DAP kita pertikai tetapi itu biasa dalam gerakan. Dalam perbincangan PH kadang kadang hal ini disuarakan tetapi saya menyeru agar rakan dalam KEADILAN faham
"Kita bergerak dengan dasar kita sepakati, agenda bersama, menolak rasuah," katanya.
Hal itu, jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu kerana KEADILAN berdiri sejak awalnya pada 1999 bersama rakan rakan sekutu yang lain.
"KEADILAN bila kita mula tegak tidak seperti parti lain. Mula tegak terus berganding dengan Pas dan juga DAP
"Betul kita parti berdiri sendiri tetapi dari awal gerakan kita terlalu intim dengan kedua dua parti dan ketika itu Azizah sebagai presiden. Kita gembeling dan bina kekuatan bersama sama kedua parti itu berganding dengan kita," katanya lagi.