
Spekulasi pertemuan antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Mahathir Mohamad yang menyebar sejak semalam perlu dilihat secara positif dalam konteks menentang parti penyamun wang rakyat.
Bagaimanapun, menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, biar bertemu siapa pun prinsip PH tegas iaitu kekal mendukung agenda anti rasuah, anti perkauman dan tadbir urus yang baik.
"Isunya di peringkat akar umbi, kita pernah melalui isu itu (bersama Tun). Masa yang sama kita dengar bukan sahaja kenyataan Tun tetapi jawab balas Anwar. Beliau kata bersedia untuk mendengar mana mana pihak.
"Yang jelas bagi PH prinsip itu, bukan sahaja agenda reformasi tetapi untuk memperbaiki keadaan. Untuk memastikan beberapa perkara asas perjuangan itu tidak dikompromi.
"Ramai bertanya saya, apa beza PH dulu dengan sekarang? Dulu dikepalai oleh Tun Mahathir. Kali ini oleh Anwar. Keadaan itu sangat berbeza," katanya dalam bual bicara terbitan Bernama bertajuk "Bisa 'Poster Boy' di Ibu Pilihan Raya", malam tadi.
Tambah Pengarah Komunikasi PH itu lagi, keputsuan mengenai hala tuju gabungan telah jelas sebelum ini dan selebihnya jika berkaitan strategi pilihan raya maka ia akan diputuskan oleh Majlis Presiden.
"Apa sahaja keputusan ia berlandaskan keputusan Majlis Presiden PH. Pada waktu ini PH mengukuh kedudukannya berunding dengan mana mana parti yang sedia kerjasama, satu persefahaman pilihan raya dengan Muda dan PSM. Rundingan kerusi akan selesai dalam dua tiga hari ini. Kalau ada mana mana parti selepas itu terpulang kepada pimpinan," katanya.
Menjawab persoalan mengenai poster boy, Fahmi menegaskan PH mempunyai seorang poster boy, iaitu calon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kalau tengok perlembagaan PH jelas pengerusi PH anwar. Jadi dalam persiapan untuk elak salah faham atau fitnah kita letak gambar beliau. Ini untuk konsep kestabilan.
"Inilah calon kita untuk PM," katanya
Berkenaan manifesto pula, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengakui terdapat isu manifesto yang tidak dapat dilaksanakan dan menimbulkan masalah kepada PH dalam kerajaan yang lalu.
Namun kali ini, katanya, manifesto akan lebih realistik dan mampu dilaksanakan dengan keadaan Malaysia pada hari ini.
"Manifesto akan lebih realistik. Datuk Seri Anwar menyatakan beliau tidak akan menjanjikan bulan dan bintang tetapi atas dasar (polisi), waktu kita usahakan manifesto lama, Anwar dalam penjara. Itu manifesto berbeza.
"Manifesto kali ini praktikal, berdasarkan pengalaman kita," katanya lagi