PH kekal komited bantu pembangunan, kebajikan Orang Asli
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook menyangkal dakwaan peruntukan terhadap masyarakat Orang Asli (OA) akan dihentikan sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberikan mandat.
Tegasnya, komuniti tersebut tidak perlu bimbang dengan dakyah palsu untuk mencipta persepsi negatif terhadap PH sekaligus mengelirukan rakyat itu.
"Jangan percaya dakwaan bahawa peruntukan kepada Orang Asli akan dihentikan. Kerajaan akan terus membantu masyarakat Orang Asli.
"Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar kekal komited meneruskan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli termasuk melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagaimana yang dilaksanakan sekarang," katanya dipetik laporan media.
Loke berkata begitu menerusi ucapa pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian, pada Rabu.
Sementara itu beliau turut menyeru rakyat tidak dipengaruhi dengan kempen yang memainkan sentimen kaum dan agama semata-mata kerana perkara itu tidak membantu menyelesaikan masalah sebenar dihadapi masyarakat.
Beliau turut memberi jaminan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini tidak akan terjejas sekiranya PH terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
"Di kampung-kampung sekarang macam-macam cerita dimainkan. Ada yang kata kalau Pakatan Harapan menang, orang Melayu akan hilang kuasa.
"Ada pula yang kata Anthony Loke akan jadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Malah ada juga yang mendakwa Pakatan Harapan mahu mengganggu sistem adat dan institusi diraja.
"Semua ini tidak benar. Kalau PH menang di Chennah dan Negeri Sembilan, Perdana Menteri tetap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Negeri Sembilan tetap orang Melayu," katanya.
