top of page

PH, KEADILAN punyai garis panduan teroka kerjasama politik - Saifuddin



Rundingan atau kerjasama politik yang disinonimkan dengan hala tuju calon Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebenarnya telah diputuskan dalam temurapat bersama pimpinan KEADILAN.


Hal itu diungkapkan oleh Saifuddin dalam wawancara bersama sebuah portal berita malam tadi.


Menurut Saifuddin yang juga Setiausaha Agung KEADILAN, temurapat berkenaan telah membuahkan 6 resolusi yang dijadikan garis panduan sekiranya berlaku rundingan atau sebarang kerjasama politik.


"Cabaran terbesar dalam temurapat ialah pelbagai idea dan pandangan oleh pemimpin. Angka dan data pilihan raya itu apabila dibuat kajian, dapatannya sangat jelas. Iaitu berlaku pengurangan undi Melayu dan bukan Melayu secara keseluruhan kepada PH.


"Di Melaka kita pakai logo sama, Pakatan Harapan (PH). Di Johor logo sendiri tetapi hasilnya kita hanya menang satu kerusi, di Bukit Batu. Berbanding di Melaka yang kita kalah semua kerusi kerana peratus keluar mengundi rendah.


"Kita pula masih mengekalkan tempo dan rentak lama, pengundi tidak rasa tertarik. Bila kita analisis perkara itu secara mikro dan ambil tindakan bergerak ke hadapan, kita mesti respons segera untuk memenangi sokongan rakyat, baik Melayu atau bukan Melayu


"Perkara ini yang dibincang dalam temurapat di Port Dickson. Kita ada 6 resolusi. Resolusi pertama, Anwar akan menjadi jeneral yang memimpin jentera PH masuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Jika rakyat beri mandat, Anwar akan kekal sebagai calon PM. Itu dalam wawancara Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) semuanya tidak berubah. DAP kekal dengan pendirian Anwar calon PM.


"Resolusi keenam pula, PH setuju untuk ambil pendekatan mengembeling semua sokongan pembangkang di luar PH. Kita kaveat resolusi, selama pihak berkenaan menerima dasar perjuangan PH. PH ini bersetuju perkara perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam agama Persekutuan, Raja raja Melayu di samping tatakelola baik dan perangi rasuah," ujarnya.


Menurut Ketua Sekretariat PH itu lagi, jika diambil contoh kawasan di Johor yang mana KEADILAN kalah sehingga hilang deposit seperti DUN Johor Lama, Semarang atau Tenggaruh, maka kawasan itu boleh diserahkan kepada parti pembangkang lain yang berminat dalam apa yang dinamakan sebagai electoral pact.


Manakala kawasan yang mana KEADILAN mempunyai potensi menang, katanya, perlu dikekalkan kepada parti itu.


"Kalau ada political understanding, bermaksud parti pembangkang lain jangan masuk di kawasan yang kita rasa peluang kita besar seperti DUN Kempas, Layang Layang dan sebagainya .... Jika itu boleh dicapai, maka apakah pertimbangan melepaskan kerusi yang memang kita hilang wang pertaruhan? Itu perkara yang kita mahu teroka," ujarnya.


Namun tegas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, semua pilihan masih diperingkat percubaan untuk berbincang dan belum ada kerjasama diputuskan.


Menyentuh berkenaan pihak yang berkempen dalam pemilihan KEADILAN untuk melepaskan peluang menang pada PRU 15 bagi menumpukan PRU 16, Saifuddin tidak bersetuju dengan idea berkenaan.


Katanya, sejak penubuhan KEADILAN hal seperti itu belum pernah dijadikan isu apatah lagi strategi parti.


"KEADILAN sejak ditubuhkan belum pernah mana mana pemimpin mengungkapkan hal itu. Waktu KEADILAN baru tubuh kita tidak pernah cakap parti baru 7 bulan ditubuhkan (PRU 1999) dan tak pernah kita ambil jalan mengalah.


"Kita tinggal 1 kerusi pada 2004, tak pernah kita mengalah. Sifat mengaku kalah sebelum masuk gelanggang tidak pernah ada.


"Ada kata trend baru agar bersikap realistik. Data dan trend menunjukkan itu hakikatnya. Kita menguruskn parti politik dan rakyat. Ini dua perkara berbeza," katanya.


Tegas Saifuddin, sikap tersebut hanya akan memberi kesan negatif kepada penyokong Datuk Seri Anwar kerana sekiranya sasaran kemenangan pada PRU 16 maka tidak mungkin Presiden KEADILAN itu akan diangkat sebagai Perdana Menteri (PM).


"Kebimbangan utama kita ialah bagaimana kerajaan yang akan memerintah selepas PRU 15, dan mungkin membawa kita menuju kepada kehancuran


"Apa pula yang akan berlaku kepada kita pembangkang? Segala kemungkinan itu perlu diambil kira. Secara tersiratnya (PRU 16) penamat kepada Anwar. Kamu telah berumur 75 tahun, PRU akan datang 80 tahun.


"Antara mengambil sikap realistik dan kita yang mengalah, pada saya belum pernah dilihat diungkap secara terbuka (oleh pemimpin parti sebelum ini).


"Pada saya kalau nak tarik pengundi Atas Pagar pun mesti dengan mesej kemenangan. Kalau kita tidak boleh menang maka mereka tak akan datang kepada kita," katanya lagi.






0 comments

Recent Posts

See All

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page