Pakatan Harapan (PH) tidak boleh kekal dengan kedudukan dalam tiga siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, berada di tempat ketiga berbanding BN dan PN.
Menurut aktivis KEADILAN, Rafizi Ramli, kedudukan di tempat ketiga menyebabkan pengundi Atas Pagar terus tidak berminat mengikuti perjuangan PH yang di dalamnya ada KEADILAN dan seterusnya menyebabkan keputusan pilihan raya yang berundur ke belakang bagi perjuangan 'ketuanan rakyat'.
"Selalunya dalam dinamik politik gabungan yang lebih daripada dua (pakatan), pilihan raya tertumpu kepada dua gabungan teratas.
"Kalau gabungan ketiga, pengundi Atas Pagar akan memilih dua gabungan teratas. Gabungan ketiga itu jauh berada di belakang seperti di United Kingdom, ada konservatif, buruh dan liberal demokrat. Hampir di semua tempat kita lihat pertembungan itu antara konservatif dan buruh, dan di tempat tertentu sahaja liberal demokrat mendapat tempat.
"Kita kena berhati hati sama ada PH itu dalam dua teratas atau terpelanting menjadi gabungan ketiga. Apabila jatuh ke tempat ketiga kesannya kepada politik negara ialah politik akan dimonopoli oleh dua gabungan yang tak ada beza dari segi pembawaan dan penawaran kepada rkayat.
"Satu mengaku Melayu, satu lagi pun mengaku Melayu juga. Jadi mereka bersaing siapa yang lebih Melayu dalam keadaan cabaran polisi, ekonomi, teknologi yang jauh lebih hebat sekarang daripada 5 atau 10 tahun lalu.
"Kita mahu peringkat atas itu satu gabungan yang betul betul berbeza daripada gabungan lain," katanya dalam forum Terus Terang: Bersama Rafizi dan Nurul Izzah, malam tadi.
Menurut mantan Ahli Parlimen Pandan itu, senario PH yang jatuh ke tempat ketiga diperhatikan secara dekat oleh beliau sejak PRN Melaka.
Namun pendapat awalnya hal itu mungkin akibat undi protes kerana PH menerima calon 'katak' dari BN. Bagaimanapun, kata Rafizi apabila trend kemerosotan sokongan dilihat dalam PRN Sarawak dan Johor, maka keadaan telah menjadi getir
Katanya, dalam simulasi yang dijalankan melalui kajian big data Invoke mendapati pengundi Atas Pagar yang selalunya memberi undi kepada PH telah pun beralih arah ke BN dan PN.
"Dalam minggu kedua (kempen PRN Johor) kita ikuti pola sokongan pengundi Atas Pagar. Dalam beberapa simulasi, hampir 40,000 pengundi Atas Pagar. Ia amat membimbangkan saya.
"Dalam simulasi itu kita cuba beri pilihan kalau ada Umno BN, PN, PH, parti mana dipilih? Dari situ kita dapat kesan, 2 - 3 hari sebelum mengundi, pengundi Atas Pagar Melayu lebih rela undi Umno daripada PH.
"Pengundi Atas Pagar yang 60% bila ditanya, hampir semua berkata akan pindah undi kepada BN dan PN.
"Saya rasakan kita boleh buat rumusan dalam 2 - 3 tahun ini, PH telah hilang sokongan pengundi Atas Pagar. Bukan soal strategi atau kesilapan (kerajaan PH) tetapi soal naratif, dan kalau ini tidak diperbetulkan maknanya dalam PRU depan PH akan berada di tempat ketiga.
"Kalau ini berlaku ia akan membawa kesan mendalam kepada politik Malaysia. Maknanya persaingan politik negara akan didominasi dua gabungan yang tidak akan membawa idea baru," katanya.
Berakibat daripada itu, jelas Rafizi, mendorong beliau untuk kembali aktif dalam KEADILAN.
Katanya, beliau masuk bertanding kali ini kerana mahu parti pelbagai kaum seperti KEADILAN tidak kehilangan momentum perjuangan dan negara kelak akan hanya memperjuangkan isu isu Melayu dan memusnahkan potensi ekonomi dan budaya berbilang bangsa.
"Pemilihan parti lebih awal daripada PRN Johor. Saya tidak buat keputusan dan kurang berminat (untuk bertanding). Cuma keputusan di Johor itu ada gambaran yang sangat berbahaya. Pemilihan parti hanya kebetulan.
"Yang penting saya berharap kempen kami (dalam pemilihan) lebih kepada rakyat Atas Pagar di luar sana. Kalau diteruskan begini (kejatuhan PH) banyak pencapaian sejak 10 - 15 tahun lepas akan kembali kepada zaman yang rakyat tak ada banyak pilihan," katanya lagi.
Untuk rekod, Rafizi telah menawarkan dirinya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan parti tahun ini.
Comments