PH Jamin Kestabilan, Tidak Bergantung Parti Lain Bentuk Kerajaan
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Oleh: Darwish Zainal
ULASAN: Pakatan Harapan (PH) muncul sebagai parti paling dominan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Negeri Sembilan apabila bertanding di kesemua 36 DUN.
BN parti paling tua di Malaysia dan parti paling lama di Negeri Sembilan hanya bertanding di 25 DUN.
Angka ini menunjukkan ketidakyakinan BN dan lebih rela 'sedekah' 11 DUN kepada PN daripada menanggung malu kekalahan.
Apa yang hendak dibanggakan BN kerana Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno pun mampu bertanding di 24 kerusi dalam keadaan parti itu porak peranda baru-baru ini apabila ramai kepimpinan parti itu sama ada dipecat, digantung atau keluar parti.
Tak kan lah parti yang disebut-sebut sebagai 'parti keramat' tidak berani meletakkan calon di kesemua 36 DUN?
Rakyat perlu bijak menilai situasi
Rakyat Negeri Sembilan perlu bijak menilai situasi ini. Adakah rasional memberikan undi kepada parti yang tiada keyakinan diri 'berdiri di kaki sendiri' (bertanding sendiri) dan mengharapkan bantuan parti dalam gabungan lain untuk membentuk kerajaan?
Jika rakyat Negeri Sembilan mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak mahu episod tarik sokongan berulang, maka wajar memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan di kesemua 36 DUN.
Pakatan Harapan menawarkan calon di semua 36 DUN dan hal itu menjamin kestabilan Negeri Sembilan selepas 1 Ogos nanti, sekiranya undi diberikan kepada calon-calon PH.
Rakyat kena berfikir secara rasional, kalau BN merupakan parti yang hebat, kenapa hanya berani bertanding di 25 kerusi sahaja?
Krisis tarik sokongan berulang
Ya, 11 kerusi lagi akan ditandingi oleh PN. Sekiranya BN dan PN memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi secara gabungan, tidak mustahil krisis politik akan berulang.
Dalam politik tiada kawan yang kekal dan tiada musuh yang kekal dan ini dapat dibuktikan apabila BN menarik sokongan ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun.
Apa jaminan situasi ini tidak akan berulang sekali lagi sekiranya BN dan PN membentuk Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan?
Maka hanya satu pilihan sahaja yang akan menjamin kestabilan politik Negeri Sembilan dengan mengundi calon-calon Pakatan Harapan di kesemua 36 DUN pada 1 Ogos nanti.
