top of page

PH hanya sokong belanjawan tangani Covid 19, tidak yang lain - Anwar



Pembentangan Belanjawan 2021 yang tersasar daripada halatuju mengawal pandemik Covid 19 diselar oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, belanjawan yang sebelum ini dipersembahkan kepada Yang di-Partuan Agong bertujuan membantu rakyat telah tidak menepati sasarannya dalam banyak segi.


Beliau mengusulkan, misalnya peruntukan sebanyak RM19 bilion yang dimasukkan ke dalam dana pembangunan perlu dipindahkan kepada perbelanjaan operasi Covid 19 supaya dapat menyelesaikan masalah pengangguran, bayaran untuk beberapa kegiatan kecil-kecillan termasuk pelancongan, kemudahan pendidikan, kemudahan komputer atau kemudahan pendidikan.


"Yang ini saya rasa kami tidak akan bertolak ansur. Kerana jika tidak maka apa yang diwar-warkan sebagai peruntukan untuk belanjawan Covid 19 tidak menepati, kerana tidak menyelesaikan masalah petani, nelayan dan sejumlah besar yang menganggur.


"Atau mereka yang minta kerja di rumah tetapi ditekan, potong elaun dan tidak diberi ganjaran bil elektrik, bil internet yang mesti dilakukan mereka jika bekerja di rumah," katanya dalam sesi perbahasan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.


Anwar turut mempertikaikan pengumuman Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mahu mewujudkan setengah juta peluang pekerjaan di tengah-tengah kemerosotan ekonomi dan pandemik Covid yang belum selesai.


Katanya, kesukaran pelabur luar untuk masuk perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum jangkaan peluang pekerjaan dibuat.


"Untuk jangkaan jumlah peluang pekerjaan 500,000 itu mestilah dicerakin dengan teliti. Saya cadangkan umpamanya kelonggaran pelancongan domestik dan antarabangsa dengan syarat yang sangat ketat.


"Pelabur asing mesti dibenarkan masuk kalau tidak mana nak cari 500,000 (peluang pekerjaan). Bila disebut 500,000 tanpa cerakin saya percaya ia tidak realistik seperti mana unjuran pertumbuhan ekonomi untuk tahun hadapan. Juga unjuran untuk tahun ini. Dalam keadaan ekonomi begini (Kementerian Kewangan anggarkan) pendapatan boleh meningkat," sinisnya.


Ketua Pembangkang itu juga membidas pemotongan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung penyakit-penyakit kritikal selain Covid 19.


Menurut Anwar, dengan pemotongan itu maka pesakit-pesakit kronik lain akan lebih menderita dan sukar mendapatkan rawatan yang sesuai.


"Kalau Menteri Kewangan dengar perbahasan kita, kita bukan sebut hanya Covid 19 tetapi juga penyakit berjangkit yang lain. Umpamanya kanser. Orang terpaksa tunggu 6 bulan untuk rawatan. Sebahagian peruntukan dipindahkan kepada perbelanjaan pembangunan. Tidak ada rasional mengapa peruntukan dipindahkan. Adakah kita mati dengan Covid saja, tidak dengan penyakit lain?


"Kalau tak ditangani beban itu serius, (pesakit kronik) jumlahnya ratusan ribu. Ahli-ahli Yang Berhormat tahu hospital di kawasan mereka. kemudahan tidak cukup. Jadi ini kalau tidak dimanfaatkan program kesihatan, kita akan menghadapi masalah yang serius," katanya lagi.


Justeru, Anwar memberi amaran agar Menteri Kewangan menambah baik Belanjawan 2021 dan menyahkan pembaziran peruntukan untuk mendapatkan sokongan mudah pihak Pakatan Harapan.


"Saya tegaskan sekali lagi bahawa kita diminta menyokong dengan andaian ini belanjawan Covid 19. Maka pandangan saya ialah kita akan hanya menyokong kalau benar ini belanjawan Covid 19. Dalam keadaan sekarang terlalu banyak persoalan, bermula dengan unjuran, kemudian peruntukan untuk Covid 19 dan ketiga soal pemindahan wang dan peruntukan pembangunan.


"Maka saya usulkan Menteri Kewangan teliti betul-betul dan dengar hujah-hujah yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat yang lain supaya hal Covid 19 ini diberi keutamaan.


"Kita diberitahu, digesa, diminta dan dinasihat supaya menyokong belanjawan Covid 19. Kita hanya menyokong belanjawan Covid 19 dan tidak yang lain," tegasnya disambut tepukan gemuruh dari sebelah tempat duduk Ahli Parlimen pembangkang.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page