Kerajaan pantau krisis Asia Barat, pastikan rantaian bekalan tidak terjejas
- Suara Keadilan

- 2h
- 1 min read

Kerajaan MADANI sedang berusaha meminimumkan kesan krisis di Asia Barat terhadap rantaian bekalan serta keperluan asas rakyat di negara ini.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata, walaupun situasi di wilayah tersebut berpotensi menjejaskan rantaian bekalan, setakat ini bekalan barangan asas di negara ini masih stabil dan mencukupi.
"Keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan bekalan barangan keperluan asas terus terjamin. Buat masa ini keadaan masih terkawal dan bekalan berada pada tahap yang baik.
"Namun sekiranya konflik berlarutan, tidak mustahil terdapat barangan tertentu yang terkesan, khususnya minyak atau produk yang diimport dari Timur Tengah," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Motosikal di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI di Dewan Komuniti Sungai Tapah pada Jumaat.
Pada acara itu seramai 22 individu daripada kategori penerima e-Kasih menerima bantuan motosikal bagi memudahkan pergerakan selain membantu mereka menjana pendapatan melalui aktiviti ekonomi seperti perniagaan kecil.
Sementara itu, Muhammad Kamil juga memaklumkan, Kementerian Kewangan (MOF) juga sedang meneliti beberapa langkah susulan konflik Asia Barat.
Antaranya bagi memastikan harga bahan api dapat terus distabilkan agar tidak membebankan rakyat atau mencetus kesan berantai kepada harga barangan lain.




Comments