KUSKOP lulus dana RM3 juta, perkasa usahawan wanita menerusi DEWI
- Suara Keadilan

- Mar 7
- 1 min read

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan satu lagi inisiatif bagi memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong (gambar) berkata, hampir RM3 bilion telah diluluskan bagi menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan milik wanita di seluruh negara menerusi inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) bagi membantu golongan itu mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Diwujudkan untuk menyelaras dan menyatupadukan pelbagai program pembangunan usahawan wanita yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan, ia sekaligus membolehkan sumber dan dana sedia ada digembleng secara lebih tersusun, sekali gus memberi impak lebih besar kepada golongan sasar.
"Melalui penyelarasan ini, bukan sahaja jumlah dana dapat ditingkatkan, malah latihan serta kemudahan lain juga dapat disampaikan dengan lebih efektif kepada golongan sasar.
"Inisiatif DEWI diumumkan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac sebagai pengiktirafan terhadap peranan besar usahawan wanita dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya dipetik.
Sementara itu Steven Sim berkata, empat agensi di bawah KUSKOP dilantik sebagai pelaksana bagi memastikan penyaluran dana tersebut berjalan lancar dan sampai kepada golongan sasar.
Agensi berkenaan ialah Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
"DEWI mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tokoh wanita berjaya atau ‘Iron Lady’ dalam dunia perniagaan tempatan.
"Kami menyasarkan kira-kira 300,000 usahawan wanita akan menerima manfaat melalui pembiayaan yang ditawarkan sehingga RM3 juta bagi setiap permohonan yang layak," tambahnya.




Comments