top of page

PH gesa Kabinet dedah laporan RCI Tabung Haji

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read

Pakatan Harapan (PH) menggesa Kabinet membuat keputusan untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji kepada umum demi menjunjung prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kepentingan awam.


Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung AMANAH Faiz Fadzil, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan dan Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Shafi Muhammad berkata, rakyat berhak mengetahui fakta sebenar supaya segala persoalan yang berbangkit dapat diperjelaskan berdasarkan laporan rasmi.


Menurut kenyataan PH, isu pendedahan laporan itu turut menjadi perhatian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan memaklumkan di Dewan Negara pada 22 Julai lalu bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mendedahkan laporan berkenaan kepada umum.


Susulan itu kata mereka, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencabar supaya laporan RCI yang telah lama disiapkan didedahkan namun Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan perkara itu perlu diputuskan oleh Jemaah Menteri.


"Sehubungan itu, Pakatan Harapan berpandangan bahawa demi kepentingan awam serta prinsip ketelusan dan akauntabiliti, Kabinet wajar membincangkan perkara ini dan membuat keputusan sama ada laporan RCI Tabung Haji boleh didedahkan kepada umum mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.


"Rakyat berhak mengetahui fakta sebenar agar segala persoalan yang berbangkit dapat diperjelaskan secara tuntas dan berdasarkan laporan rasmi," kata kenyataan itu.


Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan RCI Tabung Haji selepas institusi itu berjaya diperkukuhkan hasil proses penstrukturan dan pembaharuan pengurusan.


Beliau berkata, laporan itu sebelum ini tidak didedahkan bagi mengelakkan berlakunya panik dalam kalangan pendeposit ketika usaha memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji sedang dijalankan.


Perdana Menteri turut menjelaskan kerajaan akan meneliti prosedur sama ada laporan itu perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum didedahkan kepada umum.


RCI Tabung Haji ditubuhkan pada 2022 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.


Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.


Siasatan itu menyusul selepas semakan kewangan pada 2018 mendedahkan jurang kira-kira RM11 bilion antara aset dan liabiliti Tabung Haji yang membawa kepada pelaksanaan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan.


Perdana Menteri berkata, hasil pembaharuan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu telah mengukuhkan semula Tabung Haji sekali gus membolehkan laporan RCI berkenaan dipertimbangkan untuk didedahkan kepada rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page