top of page

PH gerak jentera habis-habisan, ajak pengundi keluar mengundi 11 Julai

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) mengarahkan seluruh jentera gabungan itu supaya memberi tumpuan penuh kepada usaha mengajak seramai mungkin rakyat Johor keluar mengundi pada 11 Julai depan, yang disifatkannya sebagai faktor paling penting dalam menentukan peluang PH menawan negeri itu.


Berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Bukit Gambir malam tadi, Saifuddin berkata pengalaman PRN Johor sebelum ini menunjukkan peratusan keluar mengundi yang rendah memberi kelebihan kepada lawan.


Menurut beliau, berdasarkan analisis PH, peningkatan peratus keluar mengundi akan membuka peluang lebih cerah kepada PH untuk membentuk kerajaan negeri.


"Cabaran paling besar buat kita, buat jentera Pakatan Harapan, penyokong, penggerak dan simpatisan ialah bekerja sepanjang tempoh kempen ini untuk mengajak seramai mungkin pemilih di Johor keluar mengundi pada 11 Julai.


"Itulah sasaran kerja utama kita," katanya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin, malam tadi.


Saifuddin berkata kejayaan PH tidak boleh bergantung kepada calon semata-mata kerana mustahil kesemua 56 calon dapat bertemu setiap pengundi dari rumah ke rumah.


Sehubungan itu, beliau menyeru setiap anggota parti komponen supaya memainkan peranan sebagai duta kempen bagi memastikan mesej PH sampai kepada rakyat.


Pada masa sama, beliau menegaskan semangat kerja berpasukan antara parti-parti dalam PH perlu diperkukuhkan dengan menganggap kemenangan mana-mana calon gabungan sebagai kemenangan bersama.


"Kalau di sesuatu kawasan yang bertanding itu DAP, maka jentera KEADILAN dan AMANAH mesti bekerja memenangkan calon DAP. Begitu juga jika calon yang bertanding daripada KEADILAN atau AMANAH.


"Kalau kita boleh sebati sampai ke tahap itu, itu tanda bahawa kita bergerak sebagai satu pasukan," kata Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri.


Mengulas suasana politik yang semakin hangat menjelang hari penamaan calon, Saifuddin mengingatkan jentera PH supaya kekal fokus kepada pertandingan politik dengan parti lawan dan tidak terpesong dengan isu-isu yang tidak berkaitan.


Beliau menegaskan setiap dakwaan atau serangan politik perlu dijawab menggunakan data dan fakta yang tepat, bukannya provokasi.


"Kalau ada isu yang mereka bawa, kita jawab. Kita ceritakan angka dan fakta sahaja.


"Maklumat inilah yang perlu disampaikan dalam ceramah kelompok, lawatan rumah ke rumah dan juga melalui media sosial supaya rakyat Johor mendapat maklumat yang tepat," katanya.


Sebagai contoh, beliau berkata dakwaan kononnya kerajaan Persekutuan tidak memberikan peruntukan yang mencukupi kepada Johor perlu dijelaskan melalui data rasmi yang menunjukkan Johor menerima RM14.6 bilion peruntukan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbanding RM10.2 bilion sebelum ini.


"Kalau ada lagi yang cuba nak beritahu rakyat Johor bahawa Perdana Menteri ini bagi peruntukan yang tidak setimpal kepada Johor, kita jawab dengan angka.


"Sebelum ini Johor dapat RM10.2 bilion, sekarang Johor menerima RM14.6 bilion. Itu fakta yang perlu kita sampaikan kepada rakyat," katanya.


Menurutnya, pendekatan berkempen berasaskan fakta dan rekod pencapaian kerajaan adalah kaedah paling berkesan untuk meyakinkan pengundi sekali gus membantu PH memperoleh mandat pada PRN Johor kali ini.


"Kita cuma ceritakan angka dan fakta sahaja. Fakta-fakta ini jurukempen kena sampaikan ketika bersembang di kedai kopi, semasa lawatan rumah ke rumah, ceramah kelompok dan juga melalui media sosial supaya pemilih Johor mendapat maklumat yang tepat tentang Pakatan Harapan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page