PH fokus tawaran untuk rakyat, elak provokasi pihak lawan - Dr Zaliha


Semua jentera Pakatan Harapan (PH) diseru mengamalkan sikap profesional dan mengelak sebarang provokasi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kempen pilihanraya seharusnya menjadi ruang meraikan demokrasi dan bukan digunakan sebagai medan mencetuskan ketegangan semata-mata untuk memenangkan calon.
"Meraikan demokrasi bukan bermakna kita perlu meletakkan kekerasan dalam usaha memenangkan calon.
"Tetapi kita kena lebih bersikap profesional, tenang, di samping membuat kerja-kerja yang sepatutnya kita buat," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu bagi mengulas ketegangan kecil di Politeknik Merlimau ketika hari penamaan calon DUN Merlimau semalam.
Sementara itu sebagai mengulas tawaran PH pada PRN Melaka, Dr Zaliha berkata, penyelarasan manifesto parti akan dipusatkan di bawah Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain itu setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut akan mempunyai manifesto atau tawaran khusus berdasarkan keperluan penduduk setempat.
"PH akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai perubahan dan perancangan yang ingin dilaksanakan sekiranya calon jika diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," tambahnya.




Comments