PH desak SPR siasat dakwaan pengundi awal disogok
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dakwaan yang mendakwa pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disogok dengan wang.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebagai mengulas dakwaan Penyelaras Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Badrul Hisham Shaharim atau Chegubard berkata, sebarang dakwaan yang timbul sepanjang tempoh pilihanraya berada di bawah bidang kuasa SPR.
"SPR perlu menjalankan siasatan dalam tempoh pilihanraya dan agensi seperti SKMM sedia membantu sebagai agensi teknikal untuk membuat pengesahan atau menjalankan forensik digital terhadap kandungan yang dimuat naik ataupun disebarkan," katanya dipetik laporan media.
Fahmi ditemui selepas menghadiri program kempen bersama komuniti Felda Bukit Rotan Barat di Jempol pada Selasa.
Terdahulu, Chegubard mendakwa Pusat Media Perikatan Nasional (PN) didatangi sekumpulan anggota polis yang mengadu kononnya diberi RM300 hingga RM500.
Beliau mendakwa, anggota polis berkenaan mendakwa mereka diugut supaya menyerahkan nombor siri kertas undi.
Susulan itu Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad tampil menyangkal keras dakwaan tersebut dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tohmahan kepada pihak polis.
"Sekiranya ada laporan polis, kita akan menjalankan siasatan. Jika laporan ini berkaitan salah laku seperti dinyatakan, kita akan merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.




Comments