PH cabar BN kemuka bukti 97 peratus manifesto BN Melaka dilaksana


Pakatan Harapan (PH) mencabar Barisan Nasional (BN) mengemukakan senarai lengkap dan bukti pencapaian bagi menyokong dakwaan bahawa 97 peratus manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 sudah dilaksanakan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata dakwaan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu perlu disertakan perincian status setiap komitmen yang terkandung dalam manifesto berkenaan.
Menurutnya, manifesto BN pada PRN 2021 mengandungi 103 inisiatif merentas lima teras, justeru rakyat berhak mengetahui pencapaian sebenar setiap perkara yang dijanjikan.
"Pakatan Harapan terkesima dengan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bahawa BN telah melaksanakan 97 peratus manifesto PRN 2021.
"Manifesto tersebut mengandungi 103 inisiatif merentas lima teras, maka dakwaan pencapaiannya perlu disertakan senarai lengkap yang menunjukkan kedudukan setiap komitmen," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama, Bukit Piatu, Melaka hari ini.
Adly berkata, ringkasan Laporan Ketua Audit Negara merekodkan hasil Melaka sebanyak RM490.27 juta, manakala perbelanjaan negeri berjumlah RM519.35 juta pada 2024.
Katanya, skala kewangan itu menunjukkan pentingnya setiap keputusan perbelanjaan mempunyai tujuan, rekod serta hasil yang boleh diperiksa.
"Dokumen sokongan dan kaedah pengiraan mesti dibuka kepada pengundi bagi mengelakkan kekeliruan sepanjang kempen," katanya.
Beliau berkata, menerusi aspirasi Melaka Rumah Kita, PH menawarkan pentadbiran bersih, telus dan berintegriti dengan pengurusan berhemah terhadap setiap ringgit wang awam.
Komitmen itu, katanya, perlu diterjemahkan melalui pentadbiran bebas rasuah, keputusan berasaskan kelayakan serta prosedur yang mengurangkan birokrasi tidak perlu.
Rakyat juga perlu mengetahui syarat permohonan, tempoh pemprosesan dan alasan sesuatu keputusan dibuat supaya tidak bergantung kepada orang tengah atau hubungan politik.
Katanya, pelaksanaan setiap tawaran perlu dipantau menerusi sasaran dan laporan kemajuan yang jelas, selain menegaskan prinsip ketelusan sama juga terpakai kepada PH.
Tahanan rumah Najib
Dalam perkembangan berasingan, Adly turut menyentuh isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati proses undang-undang.
Katanya, tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapatkan penentuan mahkamah berhubung kesan Perintah Pelepasan selepas pembayaran denda RM50 juta mempunyai asas yang perlu diteliti.
Menurutnya, persoalan utama ialah sama ada hukuman kes SRC masih berjalan di lokasi berbeza atau sudah selesai, memandangkan kedua-dua keadaan membawa implikasi berlainan terhadap permulaan hukuman bagi kes 1MDB.
"Perkara ini memerlukan keputusan kehakiman, bukan andaian politik," katanya.
Beliau turut menggesa Umno supaya memberikan ruang kepada penjelasan undang-undang dan tidak menyamakan usaha mendapatkan kepastian mahkamah dengan tindakan mengingkari titah diraja.
Katanya, Umno juga perlu menunjukkan konsistensi prinsip dengan pendirian parti itu ketika berdepan kemelut institusi diraja di Negeri Sembilan sebelum ini.
"Walaupun kedua-dua perkara mempunyai asas perlembagaan berbeza, penghormatan terhadap proses yang sah tidak boleh berubah mengikut kepentingan politik.
"Pasukan pembelaan beliau juga perlu mendapatkan penjelasan atau perintah lanjut yang diperlukan melalui mahkamah," katanya.
Adly menegaskan perkara itu perlu diputuskan berdasarkan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
Beliau berharap semua pihak menghormati proses kehakiman serta memberikan ruang kepada mahkamah menentukan kedudukan undang-undang dan pelaksanaan perintah berkenaan tanpa tekanan politik.
Dalam pada itu, JPPH turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu sempena hari kesembilan kempen PRN Melaka.




Comments