Modal politik BN pada waktu Kerajaan Selangor memulakan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor selepas Pilihan Raya Umum 2008 adalah 'negeri akan bankrap kerana banyak bantu rakyat'.
Namun, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, selepas sedekad negeri Selangor ditadbir Pakatan Harapan (PH), bukan sahaja tidak bankrap tetapi ekonominya kekal cemerlang.
"BN cakap, buat program kesihatan negeri bankrap, tangguh (tidak kutip sementara) cukai pintu negeri bankrap, air percuma negeri bankrap.
"Di bawah jagaan kita, kita buktikan bantu rakyat negeri tidak bankrap," kata Amirudin dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Kota Damansara, malam tadi.
Malah kata beliau, fakta yang akan lebih mencengangkan BN ialah selepas Kerajaan Negeri menghabiskan beratus ratus juta ringgit membangtu rakyat pertumbuhan ekonomi Selangor bukan semakin menurun tetapi semakin meningkat.
"Baru baru ini keluar laporan dari Jabatan Statistik Malaysia. Mereka (dalam laporan) meletakkan Selangor sebagai penyumbang KDNK terbesar.
"Hampir 1/4 daripada pendapatan ekonomi negara datang dari negeri Selangor yang dijaga oleh PH. Ini progres berterusan.
"Zaman Tan Sri Khalid kita sumbang 22% (daripada KDNK), masuk penggal kedua kita sumbang 23%. Ketika saya ambil alih pentadbiran kita sumbang 24%. Tahun ini naik 24.8%. Ini kerana kita jaga kesihatan, kebajikan rakyat," katanya.
ADUN Sungai Tua itu juga berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan lebih 40 skim bantuan rakyat dan rekod itu BN - PN tidak mampu menandinginya.
"Saya ambil contoh, pada 2016 kita mulakan 50 bas percuma di Selangor yang memberi peluang 2 juta rakyat gunakan perkhidmatan awam percuma yang dibiayai Kerajaan Negeri. Sekarang kita ada 100 buah bas percuma yang berlegar setiap hari di daerah daerah.
"Baru satu program ini pun Umno BN tak mampu lawan di negeri mereka. Dan apa yang kita buat ini adalah untuk selesaikan masalah pengangkutan awam (termasuk yang gagal diselesaikan Persekutuan)," katanya.
Commentaires