top of page

PH - BN - GRS bawa dinamika politik baharu demi masa depan Sabah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Perubahan dinamika politik baharu melibatkan Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) yang diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 Sabah pada hujung bulan ini mampu membina masa depan yang lebih baik bagi rakyat negeri itu.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Aidi Amin Yazid (gambar) berkata, kesepakatan ketiga-tiga parti tersebut boleh mengelakkan pertindihan kerusi sekali gus membawa semangat perpaduan di bawah Kerajaan Madani.

"Kita mahukan yang terbaik bagi rakyat di Sabah dan apa lebih penting bagi setiap calon untuk memahami pengertian ghibtah (keinginan memiliki nikmat bersama) dan munafasah (berlumba dalam kebaikan)...tanpa berasa hasad dengki atau mahukan rezeki orang lain ditarik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Aidi Amin berkata reformasi di Sabah bermula dengan kesepakatan dengan proses demokrasi membuka peluang kepada setiap parti politik untuk membentuk kerajaan.

"Pilihanraya tidak harus dijadikan punca putusnya silaturahim semata-mata kerana merebut kuasa.


"Adab ketika berkempen wajar dipelihara dengan memberi fokus kepada tawaran kepada rakyat dan bukannya merendah-rendahkan pihak lawan," ujarnya.


Dalam pada itu, Aidi Amin berkata pelbagai usaha telah dilakukan Kerajaan Perpaduan dengan tahun depan, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion, meningkat ketara berbanding RM4.4 bilion pada 2022.

Jelas beliau Kerajaan Perpaduan juga memberi tumpuan serius terhadap isu asas yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah dengan menyalurkan RM1.2 bilion bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik selepas penyerahan kawal selia tenaga kepada negeri berkenaan pada Januari 2024.


"Ia diikuti RM765 juta untuk Projek Southern Link bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil khususnya di kawasan pantai timur yang sering terputus bekalan akibat bencana seperti tanah runtuh di Penampang," ujarnya.

Pada masa sama, RM1 bilion diperuntukkan untuk projek air Sabah melibatkan pemasangan paip baharu di Tawau serta penggantian paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, kata Aidi Amin.


Beliau berkata bagi aspek pendidikan dan kemahiran pula, kolej vokasional baharu akan dibina di Sabah selaras dengan peruntukan RM7.9 bilion TVET nasional di samping pembiayaan RM650 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang memanfaatkan lebih 25,000 pelatih termasuk di Sabah.


Oleh itu, menurut beliau, amat penting pengundi di Sabah memilih gabungan PH, BN dan GRS yang diterajui Perdana Menteri pada PRN kali ini bagi meneruskan kesinabungan pemerintahan Kerajaan Perpaduan.


"Perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi reformasi demi membawa usaha untuk memperkukuh ekonomi dan membangun infrastruktur serta memperkasa pendidikan rakyat di Sabah masih belum selesai. Semoga mandat setelah membentuk kerajaan negeri di bawah kesepakatan PH-GRS-BN bakal membawa satu dinamika politik baharu agar dapat membawa ‘Harapan Urang Sabah’," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page