PH bertemu Menteri Kewangan, bincang Belanjawan 2021



Pakatan Harapan (PH) akhirnya mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membincangkan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov ini.


Dalam satu kenyataan, PH menganggap pertemuan itu cukup penting kerana kerajaan dan pembangkang perlu bersama-sama menghasilkan satu 'Belanjawan Perpaduan' yang khusus untuk membantu rakyat Malaysia mengharungi kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan Covid-19.


"Dalam suasana Covid-19 yang ada pada hari ini, ekonomi Malaysia berada di dalam krisis yang mencabar survival perniagaan kecil, pekerjaan, masa depan dan keadaan kewangan rakyat Malaysia.


"Belanjawan tahunan negara bukan sekadar memastikan perkhidmatan awam mempunyai sumber yang cukup untuk memerangi Covid-19 secara berkesan, ia juga peluang untuk mempertahankan demokrasi dan menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih lestari dan saksama.


"Belanjawan 2021 harus fokus untuk memenuhi keperluan ekonomi rakyat Malaysia, dengan mewujudkan dan memelihara pekerjaan rakyat, dan memastikan perniagaan dibantu untuk mereka terus bertahan," menurut kenyataan itu.


PH turut mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan supaya dapat membentuk Belanjawan 2021 yang bersifat menyeluruh.


"Secara asasnya, kami mendesak kerajaan untuk menerapkan dasar fiskal yang mengembang dengan tujuan utama untuk meringankan cabaran aliran tunai rakyat dan syarikat. Dalam pertemuan itu, kami mengajukan banyak pertanyaan dan meminta menteri untuk mendendahkan dan berkongsi data fiskal yang penting.


"Kami berharap cadangan ini dapat diterima dan dimasukkan oleh menteri ke dalam Belanjawan Perpaduan 2021. Kami menunggu langkah dan respon berikutnya daripada kerajaan dalam proses rundingan ini," katanya.


Bagaimanapun, kenyataan bersama yang diwakili oleh Saifuddin Nasution Ismail (KEADILAN), Mohamad Sabu (AMANAH) dan Lim Guan Eng (DAP) menegaskan keterbukaan PH untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan mengenai Belanjawan 2021 adalah sekadar untuk menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara.


"Belanjawan Perpaduan ini adalah penting untuk menjunjung Titah DiRaja menolak pengisytiharan darurat dan mengelak pilihan raya dalam tempoh terdekat yang hanya akan mengeruhkan lagi gelombang ketiga Covid-19.


"Menjunjung Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, kami ingin menekankan proses rundingan ini dilaksanakan dengan niat yang baik. PH komited untuk bekerja dengan semua pihak bagi memerangi Covid-19, dengan hasrat menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara.


"Pun begitu, proses rundingan ini tidak bermakna sokongan atau penerimaan PH dalam soal keabsahan kerajaan ini," katanya.


Dalam pertemuan tersebut, PH mengetengahkan enam cadangan utama kepada Menteri Kewangan seperti yang berikut:


1. Meningkatkan peruntukkan Kementerian Kesihatan untuk Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD)


• Pemerolehan & penggunaan vaksin yang berpotensi kepada kelumpuk masyarakat paling berisiko

• Memberikan bayaran yang adil kepada barisan hadapan dan menyerap pegawai kontrak sedia ada kepada jawatan tetap

• Meningkatkan bilangan pekerja kesihatan sementara termasuk jururawat, kakitangan pembersihan dan pengesan kontak rapat

• Peruntukan khas untuk menangani krisis Covid-19 di Sabah


2. Memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran

kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri sehingga akhir krisis

Covid


• Meningkatkan pendaftaran E-Kasih dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS)

• Meningkatkan dana bagi mengatasi masalah penderaan domestik, isu kesihatan mental, penderaan warga emas dan kekurangan nutrisi kanak-kanak


3. Pelanjutan moratorium sehingga 31 Mac 2021


4. Subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000

pekerjaan seperti program Malaysia@Kerja yang menyediakan insentif untuk tempoh 2 tahun kepada makjikan dan pekerja berharga RM13 bilion


• Fokus untuk mewujudkan pekerjaan hijau dan infrastruktur hijau ("Build Back Better")

• Pendekatan ganjaran dan hukuman untuk sektor yang mempunyai pertumbhan yang baik, seperti sektor sarung tangan dan alat perubatan untuk meningkatkan bilangan pekerja tempatan


5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kelangsungan

pendidikan


• Menambah baik / meningkatkan sumber untuk kelas dalam talian

• Sistem simpanan kurikulum untuk pelajar belajar dari rumah

• Meningkatkan bilangan guru sokongan dan bilik darjah untuk memenuhi keperluan penjarakan sosial di sekolah


6. Perbelanjaan pembangunan untuk dua (2) projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio