PH bariskan calon terbaik dalam PRN Johor, jamin selesaikan masalah rakyat
- Akmal Manaf

- Jun 25
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) diyakini mampu meneruskan agenda pembangunan dan tadbir urus yang baik di Johor sekali gus membawa lebih banyak pelaburan berkualiti, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan kesejahteraan kepada rakyat di negeri itu.
Keyakinan itu disuarakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young sambil menyifatkan kemenangan yang paling penting bukan kemenangan mana-mana parti, tetapi kemenangan rakyat Johor untuk menikmati masa depan yang lebih makmur, stabil dan sejahtera.
"Senarai calon (PH) kali ini menggabungkan pemimpin berpengalaman, muka baharu, golongan profesional, usahawan, aktivis masyarakat serta pemimpin akar umbi yang telah lama berkhidmat kepada rakyat.
"Ada dalam kalangan mereka yang pernah menjadi menteri, Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen, namun pada saya, yang lebih penting bukan sekadar jawatan yang pernah disandang tetapi keupayaan untuk bekerja, menyelesaikan masalah rakyat, mendengar suara masyarakat dan membawa pembangunan yang memberi manfaat kepada negeri," katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, David Cheong turut bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pilihan raya perlu kekal sebagai pertandingan antara parti politik dan dasar yang ditawarkan kepada rakyat.
"Biarlah rakyat menilai berdasarkan rekod perkhidmatan, prestasi dan pelan pembangunan yang dibawa oleh setiap parti.
"Pada masa yang sama, institusi Raja-Raja Melayu perlu sentiasa dihormati dan tidak seharusnya dijadikan bahan dalam persaingan politik.
"Sebagai negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, hubungan baik antara kerajaan dan institusi diraja amat penting dalam memastikan kestabilan politik, keyakinan pelabur serta kelancaran pelaksanaan agenda pembangunan," ujarnya lagi.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor menyeru seluruh rakyat Johor agar bersama-sama mendoakan yang terbaik buat negeri itu serta memastikan PRN berlangsung dalam suasana harmoni, matang dan penuh rasa hormat.
Beliau berkata, apa jua pilihan yang dibuat rakyat kelak, ia sewajarnya berlandaskan fakta, prestasi dan perancangan masa depan yang ditawarkan.
"Johor mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai hab pelaburan, perindustrian, logistik dan ekonomi serantau.
"Hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan memudahkan pelaksanaan projek infrastruktur, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuh pendidikan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.




Comments