PH alu-alukan siasatan projek runding terus tetapi mesti adil, profesional


Pakatan Harapan (PH) mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus yang bernilai RM6.61 bilion.


Namun bagi bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, siasatan SPRM mestilah dijalankan dengan adil dan tidak dijadikan sebagai alasan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak mendedahkan senarai penuh projek tersebut.


"Tidak ada masalah jika SPRM mahu menjalankan kajian menyeluruh ke atas 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan PH sekiranya SPRM menjalankannya secara adil dan profesional.


"Lagipun kajian SPRM tidak harus diperalatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghalang prinsip akauntabiliti dan ketelusan, dengan menggunakan kajian SPRM sebagai alasan untuk enggan mendedahkan senarai penuh projek dan syarikat penerimanya," katanya dalam kenyataan.


Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut meluahkan rasa bimbang sekiranya SPRM bersikap berat sebelah kerana tidak melakukan siasatan yang sama kepada kerajaan PN, ataupun ketika zaman Barisan Nasional (BN).


"Kami risau akan wujud masalah "antara dua darjat" di mana kajian SPRM hanya dijalankan ke atas projek runding terus PH dan tidaknya ke atas projek di zaman BN dan PN.


"Kegagalan SPRM membuat kajian ke atas projek runding terus kerajaan BN dan PN boleh menimbulkan persepsi negatif "antara dua darjat" atau double standard.


"Kemelut "antara dua darjat" menjadi kontroversi, di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melanggari kuarantin kendiri selama 14 hari dan dikompaun "manja" hanya RM1,000, sedangkan mak cik warga emas berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara 1 hari.


Semoga SPRM boleh membuktikan bahawa mereka tidak menjadi senjata politik mana-mana pihak dengan turut menjalankan kajian menyeluruh terhadap PN dan BN, sama ada wujud unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini," katanya.


Guan Eng juga menjelaskan bagaimana projek runding terus ketika zaman PH dibuat hanya dengan pengecualian tertentu seperti masa krisis atau bencana alam, isu berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara (Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia) dan kepakaran khusus (one of a kind).


"Projek rundingan terus dibenarkan dalam keadaan banjir ataupun penyakit COVID-19 dan untuk menyegerakan kerja pemulihan dan penyelamatan, ataupun membeli suatu produk tersendiri dan khusus seperti Microsoft Word Office, di mana tender terbuka tidak boleh dijalankan.


"Contohnya, Feri Pulau Pinang yang menghentikan perkhidmatan buat kali pertama sejak beroperasi 126 tahun. Projek rundingan terus boleh diluluskan dalam keadaan ini untuk memulihkan perkhidmatan feri dengan segera," katanya.


Guan Eng sekali lagi menegaskan bahawa PH masih berpegang kepada janji Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berhubung projek runding terus.


"Sememangnya Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto PRU yang menyatakan dalam Janji 23,"Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar".


"Dalam kata lain, tender terbuka adalah asas perolehan tetapi dalam keadaan perlu, pengecualian boleh diberikan kepada projek rundingan terus. Itulah sebabnya peratusan projek runding terus sebanyak RM6.6 bilion ini hanya 1.4% daripada nilai keseluruhan perolehan di bawah PH.


"Biar bicara fakta. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio