PH akui kelemahan, perbaiki strategi menjuk PRU 15


Keputusan Pilihan Raya Negeri Johor yang tidak memuaskan pada 12 Mac lalu diterima dengan berlapang dada oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun menurut kenyataan Majlis Presiden PH, sebarang kelemahan yang telah dikenalpasti akan segera diperbetulkan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang berkemungkinan besar akan diadakan pada tahun ini.
"PH akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan dengan segera terutama mengatur semula strategi bagi menghadapi PRU 15. Kelemahan kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh.
"Oleh demikian, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan PH untuk menggilap semula idealisme perjuangan PH dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15.
"PH juga akan berusaha merangkul seluruh kekuatan sedia ada dalam menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang agar dapat bersama dalam usaha menolak Barisan Nasional.
"Parti-parti pembangkang tidak harus bertanding hanya di kawasan PH yang akan mengurangkan undi lalu secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan Barisan Nasional," kata kenyataan Majlis Presiden.
Kenyataan berkenaan juga menegaskan tekad PH untuk menetapkan dasar-dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik COVID-19 termasuk isu SOP dan kompaun pelanggaran SOP
Juga isu kenaikan tarif elektrik perniagaan, tambahan cukai serta kehimpitan hidup rakyat.
Selain itu, Majlis Presiden juga akan menemui Perdana Menteri Malaysia berhubung Rang Undang undang Anti Lompat Parti bagi memulihkan keyakinan rakyat agar kembali mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.
"Majlis Presiden turut menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen ini sepertimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri.
"Pimpinan utama PH akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau




Comments