Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dikaji dari pelbagai sudut.
Bagi Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, hal yang paling penting dilakukan ialah PH bermuhasabah dalam beberapa bulan ke hadapan untuk merangka pendekatan baharu menuju Pilihan Raya Umum ke 15.
"Saya mengambil sikap setelah PRN Melaka ini waktu yang sesuai untuk kita melihat persepsi umum terhadap PH dan apa yang akan kita lakukan.
"Dia bukan (melakukan) perubahan kosmetik. Tidak boleh prejudis, salahkan Datuk Seri Anwar dan sebagainya. Pada saya yang penting susuk tubuh Anwar bukan dia yang berkempen di bawah.
"Perlu tengok isu sumber, calon, naratif dan banyak lagi. Hanya mengharapkan seorang diubah bagi saya itu fantasi. Yang lebih penting sebagai satu organisasi, PH perlu bergerak ke depan memahami kekangan yang kita hadapi," katanya dalam forum maya "Epilog: Memahami Keputusan Melaka", malam tadi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun menafikan PH mula ditolak di kawasan bandar dan sub bandar kerana kebanyakan kawasan di Melaka terletak dalam kategori berkenaan.
Katanya, Melaka separuhnya berada dalam lingkungan luar bandar yang mana jaringan internet sukar dan kempen menggunakan media sosial amat terhad kesannya.
"Kalau kita turun di kawasan kampung, social network berbeza dari segi Facebook. Inilah jentera dan pimpinan perlu faham dan perlu rungkai, dan usahakan satu siri strategi yang baru.
"Kalau pergi DUN Lendu ada tempat phone line tak ada. Bila saya tengok, waktu inilah BN nak turap jalan, sampai ke warung, sampai ke pondok. Itulah masanya (kempen tabur material). Kalau kita pergi ke Durian Daun masih kawasan luar bandar. Kalau tengok peta Melaka, bagi PH seolah-olah kembali ke pra 2018, kekuatan kita di kawasan bandar, tetapi luar bandar ini adalah cabaran besar," katanya.
Menurut Fahmi lagi, di kawasan kampung Melayu yang kurang capaian internet pengundi masih membayangkan PH diketuai Tun Mahathir, malah katanya, fahaman PH tidak boleh mewakili suara majoriti Melayu sangat tebal.
Menjawab pertanyaan moderator, faktor utama kekalahan kerana menerima 2 calon lompat dari Umno, Fahmi berkata hal itu perlu diteliti secara mendalam kerana fakta awal tidak menunjukkan sedemikian.
"Kalau kita tengok 2 calon, seorang yang bertanding bagi KEADILAN, Idris Harun (Asahan) dan seorang lagi Nor Azman bertanding di Pantai Kundor.
"Bila kita lihat swing yang berlaku tidaklah setinggi di Sungai Udang, swing dari PH. Dapatan kita swing yang berlaku di Asahan atau Pantai Kundor tidak sebesar di tempat lain. Jangan kita guna hujah bila berlaku, 'itulah sebabnya'. Kena kaji dulu.
"Masalah yang lebih besar kenapa di Lendu, Ayer Molek dan Sungai Udang (swing). Ayer Molek kenapa swing begitu besar 24%? Ini bukan faktor calon lompat. Kita perlu teliti dan lakukan pembetulan," katanya.
Selain itu, katanya Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang ketat merupakan faktor utama kerana PH langsung tidak dapat memperkenalkan calon kepada pengundi.
"Ada beberapa perkara yang kita dapati sangat mengekang usaha untuk memperkenalkan calon, contohnya SOP.
"Ramai di kalangan pimpinan, jentera tiba tiba pada hari penamaan calon diberitahu banyak benda tidak boleh buat. Itu menempangkan permulaan pada perlawanan.
"Juga realitinya kerusi yang ditandungi KEADILAN dan Amanah yang dulunya ditandingi Bersatu, ini juga satu cabaran.
"Semua ini terkumpul menjadi satu perfect storm menyebabkan kita tidak menang. Walaupun DUN Paya Rumput Datuk Seri Shamsul Iskandar hanya tewas dengan 600 undi sahaja (di kubu Umno). Jadi swing yang berlaku, sama ada swing back (ke Umno), semua kita kena kaji," katanya lagi.
Comments