Kemerdekaan tuntut pengorbanan, perpaduan, keberanian lawan rasuah
- Suara Keadilan
- 18 minutes ago
- 2 min read

Kemerdekaan negara harus terus dipertahankan atas semangat pengorbanan, perpaduan dan harapan rakyat.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 bukanlah hadiah percuma, sebaliknya hasil perjuangan panjang yang dibayar dengan keringat, air mata dan darah pejuang bangsa yang tidak kenal erti takut atau lelah berjuang.
"Tugas kita hari ini ialah memastikan perjuangan itu tidak sia-sia dengan terus mempertahankan tanah air daripada pencerobohan musuh musuh luar, ancaman perpecahan, kebencian antara kaum dan agama, dan politik yang memecahbelahkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz turut menekankan sebagai bangsa Malaysia rakyat hendaklah menyuburkan nilai kasih sayang, rahmah dan saling hormat-menghormati sebagai asas kepada Malaysia Madani.
"Dalam dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia tidak boleh jemu untuk mengejar kemajuan. Kemerdekaan menuntut kita sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan diri, keluarga dan negara, sama ada melalui pendidikan, kemahiran baharu, atau peluang pekerjaan dan perniagaan
"Ilmu adalah kunci kemerdekaan sebenar. Justeru, marilah kita melengkapkan diri dengan penguasaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), serta kemahiran abad ke-21 disamping pembinaan minda dan jiwa agar kita mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di persada dunia," katanya.
Selain itu, beliau juga menyeru agar rakyat berani melawan rasuah, menolak politik sempit berasaskan kaum serta membina ekonomi yang adil untuk semua, terutama golongan muda, petani, pekerja dan usahawan kecil.
"Bersama kerajaan Madani berdiri teguh bersama rakyat untuk memastikan kemerdekaan ini terus hidup dalam bentuk kebebasan bersuara, keadilan sosial, peluang masa depan yang lebih baik untuk semua, serta rakyat yang berdaya maju dan berdaya tahan," jelas Mahfuz.
Tambah beliau, sambutan kemerdekaan tahun ini wajar dijadikan azam memperkukuh perpaduan nasional, memperkasa ilmu, dan menyuburkan nilai rahmah dalam kehidupan bernegara.