top of page

AS umpama 'harimau kertas', gagal urus konflik Timur Tengah

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Amerika Syarikat (AS) semakin dilihat sebagai “harimau kertas” apabila gagal mengurus konflik di Timur Tengah hingga menimbulkan persoalan terhadap keupayaannya sebagai kuasa global.


Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata tindakan AS melancarkan perang terhadap Iran tanpa mempedulikan bantahan sekutunya di Teluk Arab menunjukkan pendekatan unilateral Washington yang lebih mementingkan kepentingan geopolitik sendiri serta Israel.


"Bukan sahaja kepentingan enam negara sekutu Teluk Arab diketepikan malah Kongres AS sendiri turut diketepikan semata-mata untuk memuaskan negara kesayangan mereka iaitu Israel.


"Akibatnya, negara-negara Teluk kini menanggung kesan penuh serangan balas Iran sedangkan AS secara pengecut meninggalkan pos tenteranya dan memindahkan kebanyakan anggota mereka," katanya dalam kenyataan.


Menurut Raja Kamarul Bahrin sebelum ini AS mendapatkan pangkalan tentera di beberapa negara Teluk seperti Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait dan Oman dengan janji perlindungan keselamatan.


Bagaimanapun katanya, apabila AS merancang perang terhadap Iran, negara kuasa besar itu gagal berunding secara sewajarnya dengan sekutu di rantau tersebut mengenai kemungkinan kesan yang bakal berlaku.


"Walaupun semua negara Teluk Arab menyatakan bantahan kuat, tekanan daripada Israel menyebabkan AS mengabaikan semua protes sekutu mereka di Teluk," katanya.


Menurut Raja Kamarul Bahrin, akibat tindakan tersebut, negara-negara Teluk kini terpaksa menanggung kesan serangan balas Iran walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan.


Beliau berkata situasi itu membuatkan negara-negara Teluk perlu menilai semula hubungan strategik mereka dengan Washington.

Raja Kamarul Bahrin Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah

"Negara-negara Teluk Arab perlu sedar hakikat sebenar tentang di mana sebenarnya kesetiaan dan keutamaan AS berada apabila mereka sanggup meninggalkan sekutu Teluk dan juga rakyat mereka sendiri demi negara kegemaran mereka, Israel," katanya.


Tambah beliau, konflik tersebut turut menyebabkan kesan ekonomi global apabila harga minyak dan gas meningkat secara mendadak sehingga memberi tekanan kepada ekonomi negara-negara Asia dan sebahagian Eropah.


"Peningkatan mendadak harga minyak dan gas global yang memberi kesan buruk kepada ekonomi negara-negara Asia dan sebahagian Eropah tidak diambil kira sebelum perang terhadap Iran dilancarkan," katanya.


Menurutnya, salah perkiraan strategik AS juga berpunca daripada penilaian yang tidak tepat terhadap kemampuan ketenteraan Iran.


"Selepas bertindak sendirian dalam perang tersebut dan menunjukkan tanda panik serta terdesak, AS kini menggesa negara-negara Eropah, Asia dan Arab untuk menghantar kapal dan tentera bagi membantu membuka Selat Hormuz daripada sekatan Iran," katanya.


Bagaimanapun, katanya, maklum balas antarabangsa terhadap gesaan tersebut amat terhad apabila beberapa negara mengambil pendekatan berbeza.


Sebagai contoh, Jepun menyatakan bahawa negara itu hanya akan bertindak mengikut kepentingan nasionalnya, manakala Perancis pula tidak mempunyai rancangan segera untuk berbuat demikian, ujarnya.


Menurut beliau, beberapa negara lain seperti India dan China pula memilih pendekatan berunding secara langsung dengan Iran bagi mendapatkan laluan selamat keluar dari Selat Hormuz.


Katanya perkembangan tersebut menunjukkan dunia kini semakin bergerak ke arah sistem multipolar.


"Ini merupakan tanda awal bahawa negara-negara dunia kini mengejar kepentingan sendiri dan tidak lagi mempercayai tingkah laku AS yang tidak menentu dan tidak bertanggungjawab yang sanggup memulakan perang dan mencetuskan kekacauan dunia," katanya.


Tambah beliau, situasi tersebut juga menunjukkan bahawa AS tidak lagi berada pada kedudukan kukuh seperti yang sering digambarkan.


"AS kini terdedah kelemahannya dan semakin dilihat sebagai ‘harimau kertas’ yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa, sebaliknya menggunakan taktik buli terhadap negara seperti Venezuela dan Cuba," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page