top of page

Cadangan PRN Johor, Melaka serentak PRU untuk kestabilan politik — AMK

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Cadangan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka diadakan serentak bersama Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 akan datang dilihat mampu membantu mengekalkan kestabilan politik negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.


Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Jalex Lee berkata beliau menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh AMK Johor itu kerana ia bukan sekadar menjimatkan kos, malah lebih penting bagi mengelakkan negara daripada berdepan penganjuran pilihanraya yang berterusan.


Menurutnya, dalam keadaan dunia berdepan konflik yang semakin meruncing serta ekonomi global yang tidak menentu, Malaysia memerlukan kestabilan politik bagi memastikan tumpuan dapat diberikan kepada usaha memperkukuh negara.


"Cadangan ini bukan sekadar soal penjimatan kos, tetapi lebih penting untuk memastikan kestabilan politik negara pada waktu dunia sedang berdepan ketidaktentuan yang semakin meruncing. Ketika konflik di Timur Tengah memuncak dan ekonomi global tidak menentu, Malaysia memerlukan kestabilan politik dan bukan pilihan raya yang berterusan," katanya dalam kenyataan.


Beliau menambah, sebagai sebuah negara Persekutuan, negeri-negeri memainkan peranan penting dalam membentuk kekuatan Malaysia dan semangat tersebut menuntut semua pihak mengutamakan kepentingan negara berbanding percaturan politik sempit.


"Menyatukan PRN Johor dan Melaka bersama PRU juga dapat menutup ruang kepada naratif politik yang sengaja dimainkan untuk menggugat kestabilan negara, seperti yang kita lihat cuba dipolitikkan dalam beberapa isu kebelakangan ini. Politik tidak bertanggungjawab seperti ini hanya merugikan rakyat dan melemahkan negara," katanya.


Jelasnya lagi, politik tidak bertanggungjawab yang mengundang ketidakstabilan hanya merugikan rakyat serta melemahkan kekuatan negara.


Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik yang kukuh agar Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat bergerak seiring dalam mempertahankan semangat persekutuan serta menumpukan usaha kepada pembangunan negara demi masa depan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page